Selasa, 25 Julai 2017 | 12:00am
NABILA dinobatkan Pelakon Wanita Tebaik pada Filem Festival ke-28 (FFM28) bagi filem Munafik. - Foto Zunnur Al Shafiq
REZEKI masih berpihak pada Nabila kerana ada pihak percaya pada bakatnya sebagai pelakon. - Foto Aziah Azmee
NABILA lebih selesa mengekalkan hubungan profesional bersama hero yang digandingkan dengannya dalam projek drama mahupun filem. - Foto Rohanis Shukri

Nabila Huda tolak cinta lokasi

KUALA LUMPUR: Bintang sensasi, Nabila Huda, mengaku beliau tidak pernah terjebak dalam jerat cinta lokasi bersama pelakon gandingannya, sama ada bagi projek drama mahupun filem.

Memandang serius kerjaya dalam bidang terbabit, pelakon ini mengakui beliau lebih selesa mengekalkan hubungan profesional bersama hero yang digandingkan dengannya.

Menurut bintang filem Munafik ini, keserasian dalam lakonan boleh dibangkitkan dalam sesebuah naskhah dengan mendalami skrip dan karakter yang diamanahkan.

"Sebelum berkahwin lagi, saya tidak pernah terjebak dalam cinta lokasi dengan mana-mana pelakon gandingan. Saya menganggap bidang lakonan ini sebagai kerjaya dan tidak lebih daripada itu.

"Keserasian dapat dibangkitkan dengan menjiwai skrip yang diberi produksi. Jika tidak dapat keserasian, bererti penyelidikan yang dibuat terhadap watak belum mencukupi.

PELAKON, Nabila Huda. - Foto Aziah Azmee

"Pada pendapat saya, hubungan yang dibina di luar lokasi (boleh) membangkitkan isu lain. Kebanyakan pelakon sekarang harus belajar daripada pelakon lama yang lebih berpengalaman," katanya.

Sementara itu, membesar sebagai anak kepada bintang rock terkenal, Amy Search, bukanlah tiket mudah untuk Nabila, 32, menapak dalam industri seni.

Biarpun ada yang mungkin beranggapan dirinya boleh saja menggunakan nama vokalis kumpulan rock terkemuka itu sebagai jaminan, namun ia bukan cara wanita berbakat ini untuk mencipta nama.

Apatah lagi apabila si bapa mengungguli dunia muzik, manakala minatnya pula adalah pada bidang lakonan.

"Memang saya mula menapak dalam bidang seni atas bantuan dan nama papa saya juga. Siapa tidak kenal dengan Amy Search? Jadi, gerak-geri saya sentiasa menjadi perhatian ramai.

MEMBESAR sebagai anak kepada bintang rock terkenal, Amy Search, bukanlah tiket mudah bagi Nabila. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Namun, bezanya papa mempunyai nama yang gah dalam bidang nyanyian, manakala saya pula lebih selesa bergerak aktif dalam arena lakonan. Ia dua cabang seni berbeza dan saya bekerja keras untuk berada pada tahap sekarang.

"Alhamdulillah, rezeki masih berpihak pada saya kerana ada pihak yang percaya pada bakat saya sebagai pelakon. Saya tidak mahu dikenali sebagai anak yang hanya menumpang populariti papa semata-mata," katanya kepada BH Plus.

Berkat usaha kerasnya itu, pemilik nama penuh Nabila Huda Suhaimi itu berupaya merangkul trofi dalam bidang digemarinya apabila diiktiraf sebagai Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2012 (ABPBH 2012). Saat itu, beliau tidak mampu menahan air mata yang gugur, tanda kesyukuran tidak terhingga dengan pengiktirafan diterima.

Lebih manis apabila ibu kepada Keisha Laila itu turut dinobat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi drama Balqis pada Anugerah Skrin 2014, anjuran TV3.

Dua tahun kemudian, dirinya diangkat pula sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-28 menerusi filem Munafik. Naskhah berkenaan juga melayakkan dirinya menerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Majlis Anugerah Pengkritik Filem Kuala Lumpur.

Mei lalu, namanya diumumkan pula sebagai pemenang kategori Gandingan Serasi Filem (Bersama Syamsul Yusof) pada ABPBH 3.0. Trofi kedua ABPBH itu dimenanginya hasil keserasian ditonjolkan mereka berdua dalam filem arahan Syamsul.

Segala kejayaan terbabit tentu saja menjadi bukti beliau mampu mengorak langkah dengan jaya di arena lakonan, bersandarkan kemampuannya sendiri untuk beraksi di depan kamera.

INFO

  • Filem Munafik yang menampilkan Nabila selaku teraju utama berjaya mengutip kutipan tertinggi pada 2016, iaitu RM18 juta.
  • Nabila memulakan kerjaya dalam bidang lakonan menerusi telefilem Blok 404, 17 tahun lalu.
  • Nabila mendirikan rumah tangga dengan Mohd Izwan Johar pada 25 Disember 2015.
Berita Harian X