Jumaat, 28 Julai 2017 | 4:15pm
PELAKON Siti Saleha, 27, sah menjadi suri hati Lutfi Azhar, 31, dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung. - Foto Syarrizuan Abdul Rashid

Siti Saleha sah jadi isteri Lutfi

KUALA LUMPUR: Pelakon Siti Saleha, 27, sah menjadi suri hati Lutfi Azhar, 31, dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di sini, sebentar tadi.

Saleha dan Lutfi, yang memilih persalinan sedondon putih, selamat dinikahkan oleh bapa artis wanita terbabit, Mohd Baharum Abdul Rahman, di hadapan Imam Masjid Taqwa TTDI Jaya, Ustaz Mohd Fadlullah Md Noor, kira-kira jam 3.40 petang tadi.

Kelihatan tenang ketika majlis berlangsung, Saleha atau nama penuhnya Siti Saleha Mohd Baharum, bagaimanapun menitiskan air mata sebaik saja mereka disahkan sebagai suami isteri.

Saleha yang juga adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam, menerima mas kahwin berjumlah RM500, sementara wang hantaran pula dirahsiakan jumlahnya.

Pada majlis itu, pengantin lelaki turut menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada pengantin perempuan.

"Syukur akhirnya semua dipermudahkan dan doakan agar kami terus bersama di dunia dan akhirat.

"Terima kasih kepada semua yang sudi hadir dan memeriahkan majlis kami pada hari ini," kata pelakon 7 Hari Mencintaiku itu

Pernikahan mereka turut disaksikan kira-kira 200 tetamu, terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan terdekat kedua-dua belah pihak.

Majlis resepsi pasangan terbabit akan diadakan di sebuah pusat konvensyen di sini, esok.

Lutfi melamar Saleha di Cancun, Mexico, pada awal 2016 ketika menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka dan sekembalinya ke tanah air, masing-masing mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan.

Saleha dan Lutfi, yang juga seorang pegawai kerajaan, mengikat tali pertunangan pada majlis tertutup di kediaman keluarganya di Bandar Puteri, Klang, Selangor, pada 26 November lalu, selepas mulai rapat sejak setahun lalu.

Berita Harian X