Sabtu, 29 Julai 2017 | 12:01am

Raysha Rizrose takut dituduh 'kayu'

Label pelakon 'kayu' yang dilemparkan netizen terhadap aktor kacak, Fattah Amin bagaikan stigma buat selebriti yang berjinak-jinak mencipta nama dalam dunia seni.

Kata-kata sinis seperti 'harapkan muka saja cun, lakonan sedih' atau 'tak berlakon lagi bagus' yang dilayang peminat melalui media sosial mampu 'membunuh' karier artis andai dibiarkan viral.

Lihat saja Fattah, biarpun terus menjadi buruan penerbit selepas kejayaan drama rantaian Suri Hati Mr Pilot (SHMP) dan Hero Seorang Cinderella (HSC), sindiran terhadap bakat lakonannya masih menjadi perdebatan netizen.

Bagi pendatang baharu, Raysha, perkara itulah yang ditakuti sebaik menyusuli langkah dua kakaknya, Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose terjun dalam bidang seni.

RAYSHA Rizrose risau dengan kualiti lakonan. - Foto Aziah Azme

Bekas juara pertandingan Dewi Remaja 2014/2015 ini mengaku cukup risau dengan mutu lakonan apatah lagi pertama kali muncul dalam slot Akasia TV3 melalui drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin.

"Secara jujur, saya lebih risau kepada kualiti lakonan. Saya risau jika adegan yang saya tak mampu lakukan yang terbaik. Saya masih baharu dan pengalaman tidak banyak, pegang pula watak penting, jadi saya cukup risau.

"Kalau boleh, bagi setiap adegan yang dilakonkan, saya tidak mahu ia dipersiakan. Saya mahu memberi yang terbaik. Biarpun ini bukan kali pertama saya menjayakan watak utama, namun ini adalah drama pertama saya bagi slot Akasia.

"Jadi, saya mahu mendapatkan maklum balas yang baik, apatah lagi jalan ceritanya menarik," katanya kepada BH Plus.

PELAKON, Raysha Rizrose menyusuli jejak dua kakaknya, Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose terjun dalam bidang seni. - Foto Aziah Azme

Dalam drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin arahan Nizam Zakaria yang mula disiarkan 10 Julai lalu, Raysha digandingkan dua pelakon kacak iaitu Azrel Ismail dan Idris Khan.

Raysha atau nama sebenarnya, Farza Naquraisha Mohd Fariz, 21, bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi drama terbabit akan menjadi bualan ramai.

"Saya tahu jalan cerita drama ini ada banyak konflik dan tidak mendatar. Jadi dengan kombinasi jalan cerita dan barisan pelakon, saya yakin ia mampu menarik minat penonton," katanya.

Teringin rakam suara

DARI kiri, Pelakon, Idris Khan, Raysha Rizrose dan Azrel Ismail membintangi drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin. - Foto Aziah Azmee

Mengenai kerjasama dengan Azrel dan Idris, Raysha mengaku selesa dengan kedua-dua aktor terbabit.

Ditanya bagaimana dia mencipta keserasian bersama, gadis manis ini berkata:

"Saya dan Idris sudah mengenali antara satu sama lain. Jadi kami tiada masalah untuk mencari keserasian. Sama juga dengan Azrel. Saya bersyukur hubungan saya bersama Idris dan Azrel sangat baik, senang untuk kami bekerjasama.

"Kami banyak berkomunikasi untuk mencari keselesaan. Lama kelamaan perasaan malu di hadapan kamera pun hilang.

"Saya juga memupuk perasaan mencintai hero saya hanya di hadapan skrin dan tidak di luar lokasi," katanya yang memegang watak Yuhanis, seorang anak yatim piatu dalam drama berkenaan.

Berbeza dengan dua kakaknya, Raysha mengaku berminat menceburi dunia nyanyian. Jika diberi peluang, Raysha menambah, dia mahu mencuba nasib.

"Sesiapa yang berminat menyanyi, pasti menyimpan perancangan untuk mengeluarkan single. Namun, saya belum mempunyai masa yang sesuai untuk memberi fokus ke arah itu.

"Jika ada ruang dan peluang, pasti saya akan usaha merealisasikannya. Saya tak mahu terkejar-kejar melakukan semua perkara dalam satu masa. Saya lebih gemar fokus pada sesuatu perkara saja," katanya yang turut berbakat dalam bidang pengacaraan.

RAYSHA Rizrose pernah bergelar juara pertandingan Dewi Remaja 2014/2015. - Foto Aziah Azmee

Berita Harian X