Sabtu, 29 Julai 2017 | 12:51pm
BINTANG realiti Akademi FanTasia 2014, Nina Nadira sah bergelar isteri kepada Ahmad Farhan dengan dua kali lafaz jam 1130 pagi tadi.
BINTANG realiti Akademi FanTasia 2014, Nina Nadira sah bergelar isteri kepada Ahmad Farhan dengan dua kali lafaz jam 1130 pagi tadi.

Nina AF sah bergelar isteri arkitek

SHAH ALAM: Dengan dua kali lafaz, bintang program realiti Akademi Fantasia (AF) 2014, Nina Nadira sah menjadi isteri kepada Ahmad Farhan Rusman, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Pasangan yang masing-masing berusia 25 tahun itu dinikahkan bapa Nina, Naharuddin Nordin, sambil disaksikan kira-kira 100 tetamu dalam satu majlis ringkas di sebuah hotel, di sini.

Pihak pengantin perempuan menyerahkan 10 dulang hantaran berbalas lapan daripada pengantin lelaki. Farhan menyerahkan mas kahwin bernilai RM300 kepada Nina.

Jumlah wang hantaran bagaimanapun dirahsiakan.

"Alhamdulillah, selesai sudah majlis nikah. Semoga permulaan kehidupan kami akan diberkati dan dipermudahkan... Insya-Allah," katanya ketika ditemui selepas majlis berakhir.

Esok, pasangan ini akan diraikan dalam majlis resepsi di sebuah hotel di sini. Majlis bertandang pula akan diadakan di Alor Setar, Kedah, pada 24 Disember depan.

Nina dan Ahmad Farhan melangsungkan pertunangan pada 25 Mac lalu. Pasangan ini bertemu ketika menuntut di Melbourne, Australia, tahun lalu.

Mengenai karakter suaminya, Nina menyifatkan Farhan lelaki bertanggungjawab.

"Kami mempunyai tarikan bertentangan. Saya berjiwa seni, dia pula lebih bersandarkan pemikiran logik. Mungkin itulah yang melengkapi diri kami," katanya yang menuntut dalam bidang seni drama di Universiti Deakin, Melbourne.

Nina menambah, mereka merancang berbulan madu di Phuket, Thailand, akhir tahun ini. Pasangan ini juga tidak menolak rezeki untuk mendapat cahaya mata dalam masa terdekat.

Berita Harian X