Ahad, 30 Julai 2017 | 6:55pm
PENYANYI dan pelakon, Aliff Aziz. - Foto Aziah Azmee
PENYANYI dan pelakon, Aliff Aziz. - Foto Aziah Azmee

Aliff Aziz pilih lokasi perkahwinan perjelas kontroversi

KUALA LUMPUR: Mungkin ingin mengimbau kenangan manis bersama Bella Astillah, penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, 26, memilih lokasi perkahwinannya di Bukit Jelutong, Shah Alam, bagi mengadakan sidang media kontroversi membabitkan dirinya dengan isteri, selain pelakon baharu, Afifah Nasir.

Sidang media berkenaan dijangka diadakan pada jam 2 petang esok.

Pada majlis terbabit, Aliff juga dijangka akan membuat penjelasan mengenai insiden dirinya ditahan polis atas dakwaan mengasari isteri yang masih berpantang, beberapa hari lalu.

Sejak dibebaskan dengan jaminan polis, semalam, Aliff belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian terbabit.

"Saya rasa, saya perlu untuk menjelaskan hal sebenar. Jadi, semuanya akan saya nyatakan, esok," katanya ketika menghubungi BH Online, hari ini.

Difahamkan, Bella, 23, akan turut menghadiri sidang media terbabit.

Jumaat lalu, industri hiburan kecoh dengan berita penahanan Aliff yang didakwa mengasari Bella, selepas 20 hari wanita itu melahirkan anak sulung mereka, Mohamad Ayden Adrean.

Pelakon itu ditahan selepas Bella membuat laporan polis mendakwa dirinya dipukul oleh Aliff di sebuah pusat karaoke di Taman Shamelin, Cheras, di sini pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Bella bersama ibunya datang mencari Aliff dan menemuinya bersama Afifah.

Bella kemudian dikatakan memarahi suaminya dan merakam beberapa keping gambar Aliff sekali gus menyebabkan pelakon itu mula bertindak kasar dan merampas telefon terbabit.

Akibat pergelutan itu, Bella mendakwa mengalami luka pada bahagian muka dan lutut setelah ditolak menggunakan tangan dan siku oleh Aliff.

Aliff dan Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah selamat disatukan sebagai suami isteri pada 10 September 2016.

Berita Harian X