Rabu, 2 Ogos 2017 | 1:19pm
PELAKON Rabecca Nur Al Islam. - Foto Instagram
PELAKON Rabecca Nur Al Islam. - Foto Instagram
RABECCA (kiri) bergandingan dengan Emma Maembong dan Alvin Chong dalam drama 'Awak Suka Saya Tak'. - Foto Instagram

Rabecca kembali di depan kamera

KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga tahun meninggalkan dunia lakonan demi rumah tangga dan perniagaan, Datin Rabecca Nur Al Islam kini kembali ke lokasi penggambaran.

Persetujuannya membintangi drama adaptasi novel 'Awak Suka Saya Tak' itu dengan sendirinya menidakkan andaian sesetengah pihak kononnya ibu kepada empat cahaya mata terbabit tidak lagi berminat dalam lakonan.

Dalam drama terbitan Global Station Sdn Bhd dan arahan Raja Ahmad Alauddin itu, Rabecca, 31, memegang watak kakak kepada watak utama lakonan Emma Maembong.

Pelakon lelaki utama drama berkenaan ialah Alvin Chong.

"Saya menerima tawaran membintangi drama ini kerana rindu beraksi depan kamera. Lebih daripada itu, saya suka bergaul dengan keluarga baharu di set penggambaran.

"Anak saya semakin membesar. Sebelum ini, saya menolak undangan kerana anak masih kecil dan memerlukan perhatian khusus.

"Saya anggap ia pengorbanan yang akan dilakukan mana-mana ibu terhadap anaknya," kata Rabecca yang sudah pun memulakan penggambaran naskhah terbabit sejak lima hari lalu.

Menurut wanita ini, sudah beberapa kali Global Station menawarkan beliau peluang lakonan, namun semuanya terpaksa ditolak dengan baik.

Rabecca turut memberitahu, suaminya, Datuk Nor Azam Sulaiman, memberikan sokongan dalam apa saja yang dilakukannya.

"Apabila dimaklumkan mengenai tawaran lakonan ini kepadanya, dia antara insan paling positif meminta saya melakukannya. Lagipun, saya memang seorang pelakon ketika suami mula mengenali saya dulu.

"Suami tidak mahu saya risau soal anak kerana kami ada pembantu. Dia sendiri bebas untuk pulang awal ke rumah, jadi dapatlah suami memantau dan menjaga mereka," katanya.

Menerusi perkahwinan dengan Nor Azam pada 2011, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nor Anggun Raverra, 5, Nor Anggerik Renesmee, 4, dan Nor Aliff Alraffael, setahun.

Rabecca juga mempunyai anak angkat, Nor Adam Daniel, 9.

Berita Harian X