Rabu, 2 Ogos 2017 | 8:08pm
FATTAH Amin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Coffee Prince milik Fattah Amin

KUALA LUMPUR: Rezeki nyata berpihak kepada Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0, Fattah Amin, untuk membintangi drama Coffee Prince.

Biarpun ada bantahan daripada sesetengah peminat terhadap cadangan menjadikan Fattah sebagai bintang utama drama adaptasi siri popular Korea itu sebelum ini, namun pelakon tinggi lampai berkenaan tetap menjadi pilihan produksi.

Malah, penggambaran drama arahan Michael Ang berkenaan sudah pun dimulakan hari ini, yang menyaksikan aktor terbabit bergandingan dengan seorang lagi bintang sensasi, Janna Nick.

Bercakap kepada BH Online, Fattah menganggap peluang berlakon dalam drama terbabit menjadi ruang terbaik untuknya mengukuhkan lagi nama beliau dalam bidang seni hiburan tanah air.

"Pertama sekali saya bersyukur atas rezeki ini dan kepercayaan diberikan oleh pihak Astro serta produksi apabila mereka memilih saya sebagai teraju utama drama ini.

"Sejujurnya, saya tidak pernah menganggap segala apa yang berlaku sebelum ini, termasuk bantahan dan kritikan yang diberikan sesetengah peminat, sebagai sesuatu yang negatif. Sebaliknya, saya melihat semua itu dari sudut yang positif dan menjadikannya medan bagi mencabar diri.

"Segala cabaran berkenaan pastinya membuatkan saya ingin berusaha memajukan diri dan bekerja dengan lebih keras lagi. Saya mahu memastikan mereka yang memandang negatif pada saya selama ini terus suka dengan watak yang saya lakonkan itu," katanya.

Ditanya mengenai gandingan julung kali dirinya dengan Janna, Fattah mengaku tiada masalah untuk beliau berlakon bersama aktres berbakat itu.

"Sebelum ini kami pernah bekerjasama, biarpun bukan di kaca TV. Saya berharap gandingan kami dalam naskhah ini akan diterima baik oleh peminat saya dan penggemar drama tempatan.

"Doakan semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang," kata pelakon yang mencipta populariti dengan drama Hero Seorang Cinderella dan Suri Hati Mr Pilot itu.

Berita Harian X