Sabtu, 5 Ogos 2017 | 12:12am

Puteri Balqis terkilan keluarga jadi mangsa tohmahan

KUALA LUMPUR: Pelakon kanak-kanak, Puteri Balqis Azizi, 10, mengakui masih terkesan dengan tohmahan segelintir pihak yang menuduh ibu bapanya, Azizi Aziz dan Norashikin Aziz, memakan duit hasil titik peluhnya.

Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin (ASK) 2014 itu juga terasa hati apabila ibu bapanya dikatakan cuba meminggirkan masa depannya hanya kerana dia tidak ke sekolah.

Anak didik Erma Fatima itu berkata, tiada ibu bapa yang tidak mahu anak mereka bijak, selain meraih kejayaan di dunia dan akhirat. Katanya, selama ini, kedua-dua orang tuanya sanggup bersengkang mata hingga awal pagi untuk mencari wang demi membahagiakannya.

TIDAK ramai tahu Puteri Balqis juga mempunyai jenama produk sendiri. - Foto NSTP/Aziah Azmee

"Ayah tidak pernah pegang duit yang saya terima sepanjang menjadi anak seni, malah saya bebas berbelanja untuk diri sendiri. Ayah mempunyai pendapatan sendiri menerusi perniagaan yang diusahakannya.

"Mereka juga sanggup melabur untuk pendidikan saya. Tiada ibu bapa yang mahu melihat anak mereka gagal dalam hidup. Saya lebih mengenali keluarga saya, jadi jangan cakap sembarangan seolah-olah orang luar lebih tahu apa yang berlaku dalam kehidupan kami.

"Kenali dulu keluarga saya dan amati bagaimana kehidupan kami sekeluarga. Alhamdulillah, hidup kami sangat bahagia, malah rapat antara satu sama lain," katanya.

Tidak guna populariti lariskan produk

Ketika kebanyakan selebriti memanfaatkan populariti mereka di laman sosial untuk memperkenalkan produksi sendiri, Balqis dan keluarganya mengelak daripada menggunakan formula itu.

Ibu bapanya yang mengusahakan perniagaan makanan juga tidak pernah menggunakan populariti Balqis untuk mengaut keuntungan mudah.

"Saya juga mempunyai jenama produk sendiri, tetapi tidak ramai yang tahu. Memang itu strategi kerana saya mahu peminat membeli dan menikmati disebabkan mereka menyukainya. Tidak semua senang apabila kita berjaya malah, ramai yang mahu melihat kita jatuh.

PUTERI Balqis mahu lari daripada watak anak kecil yang murung dan banyak bersedih. - Foto NSTP/Aziah Azmee

"Saya bangga dan hormat dengan pendirian keluarga yang langsung tidak menggunakan populariti saya untuk melariskan produk. Ketika ini, saya menolak banyak tawaran berlakon kerana mahu memberi fokus kepada perniagaan keluarga, selain meluangkan lebih banyak masa bersama mereka," katanya

Tidak tonton televisyen

Balqis berkata, biarpun tidak ke sekolah seperti kanak-kanak lain, dia tetap mengikuti pelajaran bersama guru bertauliah berdasarkan sistem pendidikan di Singapura.

Rutin hariannya padat bermula seawal jam 4 pagi kerana Balqis turut mengikuti beberapa kelas khas seperti muzik, balet, memasak, selain bahasa Inggeris dan Mandarin.

Balqis juga jarang mengikuti program televisyen, sebaliknya lebih selesa menonton filem antarabangsa menerusi video cakera padat (VCD) kerana ia memberinya ketenangan.

"Rumah saya penuh dengan cakera padat dan DVD. Ibu bapa saya banyak membeli VCD filem antarabangsa sebagai rujukan untuk memperbaiki mutu persembahan saya ketika di lokasi penggambaran," katanya.

Turut memberikan lakonan berkesan menerusi telefilem Anak-Anak Ibu bersama Datin Umie Aida, Balqis berkata disebabkan terlalu banyak ditawarkan dengan watak klise membuatkan dirinya ingin mencari pembaharuan dalam kerjaya seninya.

PELAKON, Puteri Balqis. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Balqis mengakui sudah jemu membawakan watak anak kecil yang murung dan banyak bersedih kerana ia sudah dilakukan sejak awal kemunculannya dalam dunia lakonan.

"Saya tidak mahu lagi membawakan watak kanak-kanak yang menangis hanya kerana tidak mendapat patung beruang atau murung kerana ibu bapa bergaduh. Saya mahukan lebih daripada itu, malah ingin mencuba karakter yang menonjolkan kekuatan dan kecekalan diri.

"Saya suka dengan lakonan Natalie Portman dalam Leon: The Profesional. Walaupun ketika itu, dia masih kanak-kanak tetapi karakternya matang. Saya mahu berlakon watak berat dan sukar,' katanya yang menjadikan pelakon, Hasnul Rahmat sebagai idola serta rujukan dalam bidang seni.

Telefilem Anak-Anak Ibu bersama Datin Umie Aida.

INFO:

  • Nama: Puteri Balqis Azizi
  •  

  • Tarikh lahir: 12 April 2007
  •  

  • Umur: 10 tahun
  •  

  • Asal: Kuala Lumpur
  •  

  • Bakat seni Balqis dikesan selepas dia menjalani uji bakat ketika berusia dua tahun.
  •  

  • Bakatnya diwarisi daripada arwah datuknya, Mohd Aziz Arifin yang lebih dikenali sebagai Ken Arifin, seangkatan dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee ketika zaman kegemilangan filem Melayu di Studio Jalan Ampas.
  •  

  • Pernah membintangi drama fantasi Halfworlds siaran HBO Asia bersama beberapa pelakon, Bront Palarae, serta dua pelakon Indonesia, Reza Rahadian dan Adinia Wirasti.
  •  

  • Pencapaian:
  •  

    - ASK 2012 : Artis Harapan Pantene (Pelarian)

    - ASK 2014 : Pelakon Wanita Terbaik Drama (Balqis)

    - Anugerah Televisyen Asia ke-19 : Pelakon Wanita Terbaik (Balqis)

Berita Harian X