Sabtu, 5 Ogos 2017 | 9:42pm
GAMBAR mesra Aiman Tino dengan seorang gadis yang tersebar di laman maya.

'Dia bukan kekasih' - Aiman Tino

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aiman Tino berharap gambar mesranya dengan seorang gadis yang tersebar di laman maya, tidak disalahertikan oleh mana-mana pihak, termasuk peminatnya.

Aiman atau nama penuhnya, Mohammad Aiman Yusri, 19, mengakui bingung apabila gambar itu tersebar, malah menegaskan gadis yang dikenali sebagai Syarana itu hanya teman rapatnya.

"Dia bukan kekasih saya, sebaliknya teman rapat yang dikenali sejak kecil lagi. Saya mempunyai ramai rakan wanita yang akrab. Saya harap gambar itu tidak disalahertikan oleh mana-mana pihak," katanya yang dihubungi BH Online.

Semalam, beberapa gambar Aiman bersama seorang gadis yang dilihat mesra menjadi bualan netizen selepas tersebar menerusi aplikasi Wechat.

Kemesraan yang dipamerkan mereka mencetuskan andaian gadis itu mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi yang popular dengan lagu Ku Rela Dibenci itu.

Andaian itu diperkuatkan lagi apabila gadis itu turut memuat naik gambar bersama keterangan meluahkan perasaan rindunya terhadap Aiman pada laman media sosial miliknya.

Gambar itu bagaimanapun sudah dipadamkan selepas mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Penyanyi yang sedang hangat dengan lagu Ku Hanya Sayang Padamu itu menegaskan beliau masih solo dan belum bertemu gadis idaman.

"Saya ingin tegaskan di sini, saya masih solo. Apa yang dimuat naik Syarana itu sekadar gurauan untuk menyakat rakan. Terkejut saya apabila gambar itu tersebar," kata Aiman.

Berita Harian X