Isnin, 7 Ogos 2017 | 3:31pm
AFIFAH Nasir pada sidang akhbar berhubung kontroversi membabitkan hubungannya dengan pelakon, Aliff Aziz. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
AFIFAH Nasir bersama teman lelaki, Wan Arif (kiri) pada sidang media akhbar berhubung kontroversi membabitkan hubungan dengan pelakon, Aliff Aziz di Solaris Dutamas.- Foto Shawal Azani

Maafkan saya - Afifah Nasir

KUALA LUMPUR: "Saya mohon maaf atas apa yang berlaku."

Selepas sekian lama membisu, Afifah Nasir tampil membuka mulut dan memohon maaf terhadap palitan kontroversi membabitkan diri dengan artis kelahiran Singapura, Aliff Aziz.

Pelakon baharu yang juga adik kepada artis Anzalna itu, mengakui langsung tidak menyimpan perasaan terhadap Aliff, 26, jauh sekali mahu merosakkan rumah tangga pelakon itu bersama isterinya, Bella Astillah, 23.

"Saya mohon maaf atas apa yang berlaku. Sejujurnya, saya tiada hati terhadap Aliff. Saya juga faham perasaan Bella sebagai isteri dan ibu yang baru melahirkan anak. Saya tidak pernah menyalahkannya.

"Silap saya hanya kerana membiarkan tangan saya dipegang Aliff di premis karaoke itu," katanya pada sidang media yang diadakan di pejabat peguamnya di sini, hari ini.

Sebelum ini, kontroversi membabitkan Afifah tercetus selepas didakwa menjalin hubungan dengan Aliff yang berlakon dengannya dalam drama Izinkan Aku Mencintaimu.

Isu terbabit menjadi panas selepas Bella membuat laporan polis susulan kekasaran suaminya yang ditemui berdua-duaan di sebuah bilik karaoke dengan Afifah.

Sementara itu, Afifah mendakwa berasa dianiaya pihak produksi berikutan usaha mereka memujuk Aliff menyebabkannya terheret dalam kontroversi terbabit.

"Saya terkilan dan berasa dianiaya kerana mengikut arahan produksi yang mahukan saya melayan kerenah Aliff serta menjaga perasaannya hanya kerana mahu penggambaran berjalan lancar.

"Semuanya kerana Aliff tidak datang ke lokasi penggambaran selama lapan hari, selain lambat hadir ke set selepas hari raya lalu.

"Justeru, pihak produksi mencadangkan saya memujuk Aliff supaya dapat memberi kerjasama melunaskan baki penggambaran.

"Ikut jadual, penggambaran sepatutnya diadakan selama sebulan tetapi dengan masalah disiplin Aliff, ia berlarutan menjadi lebih dua bulan," katanya.

Beliau berkata, pihak terbabit turut mencadangkan mereka tinggal di inap desa berdekatan dengan lokasi penggambaran bagi melancarkan kerja produksi.

"Bagaimanapun saya tidak mahu kerana ingin pulang ke rumah sendiri. Kenapa Aliff yang datang lambat dan menimbulkan masalah hingga pelakon lain terpaksa menunggu pula perlu tinggal di inap desa?" katanya.

Afifah turut meluahkan kekesalan kerana tiada wakil pihak produksi menyebelahi dirinya apabila kontroversi itu meletus.

Sebelum itu, wakil media diperdengarkan dengan rakaman perbualan antara Anzalna dan seorang kru produksi yang antara lain mengaku wujud perancangan untuk 'mempergunakan' Afifah.

Bagaimanapun, rakaman itu tidak dibenarkan disiarkan untuk pendengaran umum.

Afifah menegaskan tidak pernah mahu 'menggatal' atau cuba merosakkan rumah tangga Aliff kerana apa yang dilakukan adalah demi pihak produksi.

"Saya menangis setiap malam bukan kerana dikecam netizen, tetapi disebabkan berasa terlalu bodoh mengikut cakap produksi," katanya yang ditemani peguamnya, Sana Tufil Ahmad; kakaknya, Mia Nasir; kekasihnya, Wan Ariff Wan Azhar; dan pelakon, Allana Amir.

Mengenai tindakannya membuat sidang media selepas seminggu pasangan Aliff dan Bella melakukan perkara sama, Afifah memutuskan untuk berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Minggu lalu, Aliff mengaku bersalah menyakitkan hati isterinya, Bella, 23, apabila keluar dengan pelakon terbabit. Aliff turut meminta maaf kepada isteri, ahli keluarga dan peminat kerana kesalahannya itu.

Berita Harian X