Isnin, 7 Ogos 2017 | 4:05pm
EMMA Maembong. - Foto Aziah Azmee

Walau bisnes kencang, Emma takkan berhenti berlakon

KUALA LUMPUR: Sekalipun sibuk dengan perniagaan, Emma Maembong menegaskan dia tidak akan meninggalkan bidang lakonan yang sudah diceburinya sejak lima tahun lalu.

Ketika ini, bintang Nasi Minyak Kuah Cinta itu mengusahakan bisnes jualan tudung, selendang, koleksi pakaian sedia pakai dan produk penjagaan diri.

"Sekalipun semakin sibuk dengan perniagaan, saya takkan berhenti berlakon. Alhamdulillah, perniagaan yang saya usahakan juga kian mendapat sambutan dan perhatian orang ramai.

"Saya masih cuba mengekalkan rentak dalam bidang lakonan, biarpun tidak serancak dulu. Sebelum ini, jika ada saja kekosongan dalam jadual kerja, tentunya saya akan selitkan aktiviti lakonan.

"Kini, saya lebih menumpukan perhatian kepada lakonan drama episod, manakala selebihnya fokus saya adalah pada perniagaan," kata Emma yang baru saja menamatkan penggambaran drama kerjasama Malaysia-Indonesia, Dia.

Beberapa tahun lalu, Emma, 25, mengakui dunia perniagaan ada kala tidak menyebelahi dirinya.

"Dunia perniagaan ada fasa turun dan naik. Bukan sekadar artis, orang biasa pun pasti mengalami situasi sama. Namun, kalau perniagaan yang diusahakan tidak berdepan masalah, kita takkan belajar sesuatu daripadanya.

"Kesilapan lalu umpama isyarat untuk saya supaya tidak mengulangi perkara sama, sebaliknya berusaha meningkatkan kejayaan," katanya sambil memberitahu, sebahagian daripada bisnes berkenaan diusahakannya bersama keluarga.

Ketika ini, Emma sibuk pula di lokasi drama adaptasi novel, Awak Suka Saya Tak, arahan Raja Ahmad Alauddin.

Menerusi drama terbitan Global Station itu, beliau digandingkan buat kali kedua dengan Alvin Chong.

"Saya sangat selesa bergandingan dengan Alvin. Kali pertama kami berlakon bersama adalah menerusi telefilem seram, Tangisan Kubur. Kali ini kami bergabung pula dalam drama romantik," katanya.

Menurut Emma, keserasian mudah dicipta bersama Alvin kerana pelakon Tionghua itu juga bersikap 'gila-gila' seperti dirinya.

Berita Harian X