Rabu, 9 Ogos 2017 | 12:00am
ZALIF masih aktif di persada seni dan bergelut membuktikan bakat. - Foto Amirudin Sahib
ZALIF masih aktif di persada seni dan bergelut membuktikan bakat. - Foto Amirudin Sahib

'Orang Kuning' laris dalam iklan

SENARIO penerbit lebih cenderung memilih pelakon sado atau hero berwajah tampan dan mempunyai ramai pengikut laman sosial bagi membintangi drama mahupun filem mereka, nyata memberi kesan kepada artis lain.

Enggan mengalah, pelakon Zalif Sidek yang mengaku dirinya tidak memiliki ciri-ciri berkenaan, mengatur strategi sendiri demi meneruskan kelangsungan dalam dunia seni.

Gagal mendapat pelawaan penerbit mahupun pengarah untuk membintangi drama, Zalif atau Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar, 32, kembali berlakon iklan atau komersial.

Sejak Ramadan lalu, wajah Zalif dapat dilihat menghiasi iklan restoran makanan segera terkenal di kaca televisyen (TV).

"Saya masih aktif di persada seni dan bergelut membuktikan bakat. Saya enggan menyerah kalah. Saya percaya kalau tiada rezeki dalam satu cabang kerja, In Shaa Allah pasti ada yang lain menanti.

"Macam sekarang, selepas dua tahun tawaran berlakon drama menyepi, saya kembali ke dunia iklan atau komersial... Ibarat kembali ke dunia asal.

"Sebenarnya, saya mula berlakon iklan sejak 2007 dan pernah dikenali sebagai 'Yellow Man' apabila tampil dalam iklan sebuah syarikat telekomunikasi.

"Namun, ketika itu, saya hanya jadi pelakon iklan secara sambilan," katanya kepada BH Plus.

Gigih mencari rezeki, Zalif mahu terus berfikiran positif dan menjana idea kreatif bagi meningkatkan sumber pendapatan.

"Dalam apa saja senario dunia seni, saya tak boleh terus berpeluk tubuh. Saya perlu kekalkan momentum dengan melakukan inisiatif lain termasuk berlakon iklan.

"Terus terang memang ada syarikat produksi menolak kerana saya tidak ada ramai pengikut di laman sosial selain keutamaan yang diberi kepada hero kacak," katanya.

ZALIF mahu terus berfikiran positif dan menjana idea kreatif bagi meningkatkan sumber pendapatan. - Foto Nurul Shafina Jemenon
ZALIF mahu terus berfikiran positif dan menjana idea kreatif bagi meningkatkan sumber pendapatan. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Layanan lebih adil

Zalif menambah, impak watak 'Yellow Man' masih berbisa apabila ramai penerbit iklan dan komersil menghubunginya untuk menawarkan peluang baru.

"Alhamdulillah, nampaknya, tahun ini ada rezeki saya buat iklan lagi. Kebetulan syarikat produksi sama ada projek iklan untuk saya," katanya.

Selain itu, ada tawaran lain diterima termasuk mahu saya menjadi ikon mempromosikan jenama Meatball Mat Bulat mulai bulan ini," katanya yang sudah berlakon dalam lebih 20 iklan.

Tambah jejaka berasal dari Terengganu ini, layanan terhadap pelakon iklan tidak sama seperti produk drama mahupun filem. Dalam hal ini, faktor penampilan, wajah kacak dan jumlah pengikut laman sosial tidak pernah menjadi pertimbangan dalam mencari pelakon.

"Buat iklan ini bagus kerana tak pandang rupa atau saiz. Mereka lebih pandang bakat. Kebanyakannya yang berlakon iklan bukan daripada kalangan pelakon atau penyanyi.

"Kalau perniagaan meningkat hasil daripada iklan yang disiarkan, insyaAllah kita pasti dipanggil lagi untuk berlakon iklan lain. Seperkara lagi, berlakon iklan bukan berpandu skrip sebaliknya papan cerita," katanya yang menubuhkan syarikat produksi WAB iaitu singkatan nama bapanya, Wan Abu Bakar.

Tak suka kecoh di laman sosial

Ditanya kecenderungan penerbit melihat jumlah pengikut laman sosial artis sebagai faktor memilih pelakon, Zalif punya pandangan sendiri.

"Kenapa melihat kepada angka pengikut berbanding bakat? Saya tak nafikan jika mengambil kira perkembangan semasa, pengikut ramai di laman sosial ada kepentingannya.

"Pasti siapa yang bikin drama atau filem, ia ditonton ramai. Tapi jika difikir jauh, laman sosial ada baik dan buruk.

"Bayangkan, siapa saja boleh jadi terkenal sekelip mata apabila viral. Namun, ada yang sanggup mengorbankan 'maruah' diri demi mempromosikan sesuatu.

"Tidak cukup itu, ada yang sanggup mengetepikan agama demi meraih perhatian," katanya.

Jauh sekali menyimpan rasa cemburu, Zalif percaya setiap orang ada rezeki masing-masing.

"Cuma jangan terlalu ghairah berbuat sesuatu hingga lupa hakiki kita sebagai manusia," katanya.

Pernah memegang watak hero termasuk di layar perak seperti filem Papa I Love You, Zalif masih berharap diberi peluang sama.

"Saya masih berharap dapat membawa watak hero kalau kena pada skrip. Tengoklah pada kesesuaian watak. Kalau dapat berlakon watak pembantu pun saya okay. Semuanya soal rezeki," katanya.

Zalif percaya syarikat produksi yang pernah menawarkan dirinya peluang berlakon, tahu caranya bekerja.

"Saya cukup menjaga disiplin dan tak buat masalah di set penggambaran. Kalau ada masalah berbangkit seperti soal bayaran, sebaiknya jangan gunakan laman sosial untuk buat kecoh.

"Cuba selesai cara baik. Dengan cara itu, mana-mana produksi pun akan panggil kita bekerja lagi," katanya yang pernah menjadi Pegawai Perhubungan Awam di KRU Studios selama tiga tahun sejak 2008.

ZALIF mengatur strategi sendiri demi meneruskan kelangsungan dalam dunia seni.
ZALIF mengatur strategi sendiri demi meneruskan kelangsungan dalam dunia seni.

Berlakon filem epik

Menyoroti perjalanan seninya, Zalif menganggap rezekinya murah apabila menyertai pengurusan Metrowealth (MIG) milik David Teo. Sepanjang lima tahun bersama MIG, lebih 15 filem dibintanginya.

"Cuma selepas kontrak tamat, terkapai-kapai saya meneruskan langkah di pentas seni.

"Mujur ada kawan membantu seperti Angah Raja Lawak. Saya berpeluang menimba pengalaman bekerja dengannya untuk penerbitan program lawak terutama di Astro Warna," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zalif sedang menunggu siaran drama travelog, Destinasi Ukhuwah sebanyak 13 episod di RTM. Menerusi drama travelog terbitan Nuansa Films itu, Zalif berlakon di sisi Ameerul Affendi, Adam Shahz dan Fendy Bakry.

Drama arahan Suhaimi Zulkifli itu menerapkan konsep 'road movie' yang santai dan menghiburkan.

"Kisah bermula dengan empat pelakon utama termasuk saya merantau dari Johor hingga Thailand. Di setiap negeri dan lokasi yang dilawati, dipaparkan masjid dan sejarahnya.

"Setiap episod juga mempunyai drama berdasarkan situasi yang berkaitan hinggalah episod terakhir," katanya.

Selain itu, Zalif juga menanti penggambaran filem epik, Lekir.

"Sepatutnya, filem ini sudah memulakan penggambaran tetapi ditunda. Penggambaran mungkin bermula Ogos atau September depan. Saya akan memegang watak sebagai Umbai pembantu kepada Hang Tuah yang dilakonkan Adi Putra.

"Filem itu turut dibintangi Zulhuzaimy, Wan Hanafi Su, Soffi Jikan, Fouziah Gous dan Sharifah Sakinah," katanya.

Info

  • Nama penuh Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar.
  • Diingati kerana watak 'Yellow Man' dalam iklan sebuah syarikat telekomunikasi.
  • Pernah bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di KRU Studios.
  • Membintangi 15 filem selama bernaung di bawah pengurusan MIG.
  • Menceburi dunia iklan sejak tahun 2007 secara sambilan.
Berita Harian X