Rabu, 9 Ogos 2017 | 1:17pm
BELLA Astillah. - Foto Osman Adnan

Suami lewat ke lokasi bersebab - isteri Aliff Aziz

KUALA LUMPUR: Isteri Aliff Aziz, Bella Astillah, 23, mengaku suaminya datang lambat ke lokasi penggambaran Izinkan Aku Mencintaimu, namun bersebab.

Beliau yang juga pengurus kepada artis kelahiran Singapura itu berkata, Aliff juga bukan selalu lewat ke set drama terbabit dan beliau berbuat demikian bukan secara sengaja.

"Saya akui dakwaan Afifah mengenai kelewatan Aliff ke lokasi penggambaran, namun ia bukanlah kerap berlaku. Saya sendiri mengandung ketika itu dan pastinya ada hal tak terduga yang membuatkan suami terlambat ke lokasi," kata Bella kepada BH Online.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan rakan gandingan suaminya itu dalam sidang media diadakan di pejabat peguamnya di ibu kota, Isnin lalu.

Pada sidang media terbabit, Afifah, 24, menyentuh masalah disiplin Aliff, 26, yang dikatakan bukan sekadar pernah lambat ke lokasi drama lakonan mereka, malah tidak datang ke set selama lapan hari sehingga menjejaskan penggambaran.

"Dia memang ada menyebut masalah disiplin suami saya secara terang-terangan ketika berlangsungnya sidang media diadakan.

"Kalau lapan hari dia tak datang ke lokasi penggambaran (drama) itu, bayangkan saya sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk bersalin. Sebagai suami, pastinya dia mahu temankan isterinya. Saya percaya, semua suami akan melakukan hal sama.

"Mengenai cadangan produksi supaya pelakon tinggal di inap desa pula, kalau dia (Afifah) cakap tidak mahu menetap di sana kerana nak balik ke rumah sendiri, apakah dirinya sendiri tak fikir Aliff juga mempunyai keluarga? Aliff perlu balik untuk bertemu isterinya juga," katanya.

Isnin lalu, Afifah menyatakan beliau menjadi mangsa keadaan apabila pihak produksi dikatakan mencetuskan idea supaya dirinya melayan kerenah Aliff selain menjaga perasaannya bagi memastikan penggambaran drama lakonan mereka berjalan lancar.

Sementara itu, Aliff berpesan kepada kekasih Afifah, Wan Ariff Wan Azhar, supaya menjaga pelakon wanita berkenaan dengan sebaiknya, sebagai membalas kenyataan lelaki terbabit yang meminta beliau membuat perkara sama terhadap isteri dan anaknya.

"Jika dia ada berpesan kepada saya untuk menjaga elok-elok isteri dan anak, saya juga mahu berpesan hal sama kepadanya. Saya juga harap dia akan jaga kekasihnya elok-elok juga.

"Jika selama ini pihak luar dan netizen turut kasihan dan bersimpati dengan Bella (isteri), saya juga turut berasakan hal sama kepadanya," kata Aliff.

Kata pelakon yang juga penyanyi itu, jika apa yang diceritakan Afifah kepada kekasihnya sudah dianggap betul dan masih dipertahankan, beliau tidak mampu berbuat apa-apa.

"Kalau apa yang Afifah ceritakan mengenai kerja lakonan dan dirinya itu dianggap betul, maka betullah agaknya. Namun harus diingat, bukannya dia berada di set penggambaran drama itu setiap hari pun," katanya.

Bagi Aliff, beliau seboleh-bolehnya mahu melupakan kontroversi terbabit dan menyelesaikan baki penggambaran drama berkenaan dengan segera.

Ends.

Berita Harian X