Khamis, 10 Ogos 2017 | 2:01pm
SEKITAR lokasi pengambaran Drama Izinkan Aku Mencintaimu susulan daripada isu diantara Aliff Aziz dan Afifah Nasir. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Biar orang nilai sendiri - Aliff Aziz

KUALA LUMPUR: Aliff Aziz menyerahkan kepada masyarakat untuk menilai kontroversi antara dirinya dengan Afifah Nasir susulan kenyataan pengarah drama Izinkan Aku Mencintaimu, Mansor Akob, berhubung kekecohan yang berlaku.

Aliff, 26, yang berasal dari Singapura, enggan mengulas panjang sebaliknya menganggap semua persoalan sudah dijawab.

"Saya fikir rakyat Malaysia sudah penat dengan isu ini. Saya sudah cakap bahagian saya.

"Tiada apa lagi nak cakap. Melalui kenyataan pengarah drama, semua orang boleh menilai. Bagi saya, di situ sudah terjawab segala persoalan.

"Saya pun sudah penat dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di set penggambaran drama Izinkan Aku Mencintaimu di Bandar Tun Hussein Onn di sini, hari ini.

Dalam perkembangan terbaru, Mansor menafikan dakwaan Afifah kononnya dia dipergunakan pihak produksi untuk memujuk dan melayan kerenah Aliff bagi melancarkan baki penggambaran.

Mansor atau lebih dikenali sebagai Manchi dilaporkan berkata, sepanjang penggambaran berlangsung, tiada arahan sedemikian dikeluarkan pihaknya.

Ditanya mengenai kehadiran beberapa pengawal peribadi di set penggambaran, Aliff menjelaskan, langkah itu bertujuan menjaga keselamatan diri dan mengelak fitnah.

"Apabila kekasih Afifah (Wan Ariff) beritahu mahu bawa pengawal peribadi, saya juga bertindak sama. Namun, bukan kerana saya takut," katanya.

Sementara itu, Afifah yang ditemani kekasih dan pelakon, Hafreez Adam, di set penggambaran itu mempertahankan kenyataan yang dibuat sebelum ini.

"Perkara begini (dakwaan diminta melayan kerenah Aliff) tak semestinya semua kru produksi tahu. Kita buat benda ini sebab nak habiskan penggambaran.

"Isu ke pusat karaoke hanya segelintir kru tahu," katanya yang meminta kontroversi itu dihentikan.

Berita Harian X