Khamis, 10 Ogos 2017 | 3:56pm
PENYANYI, Elizabeth Tan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Lizzy nafi mahu bunuh diri

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Elizabeth Tan, menafikan dirinya mengalami kemurungan disebabkan putus cinta sehingga mahu membunuh diri.

Sebaliknya, artis yang lebih mesra disapa Lizzy itu berkata, pengalaman putus kasih bersama seorang jejaka Melayu beberapa bulan lalu hanyalah sebahagian daripada faktor yang membuatkannya murung.

Akui penyanyi Knock Knock ini, sejak tiga tahun lalu beliau sememangnya berdepan beberapa isu yang mendorong kepada masalah kemurungan dan memaksanya berehat seketika awal tahun ini.

"Saya baru mendapat tahu ada beberapa tajuk (berita) mengatakan saya kecewa putus cinta sampai nak bunuh diri. Tajuk itu tidak betul, jadi saya harap semua jangan salah faham.

"Memang betul saya mengalami kemurungan dan sedikit tertekan sebelum ini, sebab itulah saya berehat seketika awal tahun ini. Namun ia bukan sepenuhnya disebabkan putus cinta.

"Saya berdepan beberapa masalah sejak tiga tahun lalu, yang sudah lama dipendam dan isu cinta itu hanya menjadi pencetus kepada semuanya.

"Saya semakin baik sekarang. Masa memang merawat kedukaan. Paling penting, saya banyak belajar daripada semua pengalaman pahit," tulis penyanyi itu di laman sosial Instagramnya, semalam.

Ketika bercakap kepada BH Online, Lizzy, 23, bersyukur apabila dirinya cepat tersedar dan segera mendapatkan bantuan daripada keluarga dan sahabat.

"Saya cuba bangkit meneruskan kehidupan. Kejadian yang saya lalui turut membuatkan diri ini lebih matang.

"Pernah satu ketika, saya duduk berjam-jam mengimbas kesilapan dan kelemahan diri, termasuk situasi kemurungan yang dialami. Saya hampir membuat tindakan bodoh membabitkan nyawa sendiri.

"Berpisah dengan teman lelaki juga menjadi sebahagian alasan mengapa saya jadi begitu. Saya percaya, kalau tidak ditangani secara bijak, kemurungan akan membawa kesan lain.

"Masalah itu sesuatu yang serius dan tidak boleh dipandang ringan. Ia perlu dikongsi dan tindakan saya yang tidak terus memendam hal kemurungan ini mampu menyelamatkan diri daripada terus bertindak bodoh," katanya.

Di saat dirinya berdepan masalah terbabit, ibunya yang pernah berjauh hati dengan sikap penyanyi ini turut hadir memberi sokongan.

"Saya terharu dengan apa yang dilakukan ibu. Dia banyak memberi dorongan dan kata semangat. Malah, ibu sanggup mengambil cuti untuk menjaga saya ketika saya bergelut dengan diri sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Lizzy kini tampil dengan single terbaru ciptaan sendiri berjudul Darling.

Lagu berkenaan mengisahkan mengenai seorang gadis yang sentiasa berusaha untuk memikat hati jejaka yang sukar untuk jatuh cinta.

Ia turut menjadi runut bunyi drama bersiri 20 episod terbitan Skop Productions Sdn Bhd, My Darling Inspektor Daniel, yang dibintanginya bersama pelakon popular tanah air, Aaron Aziz, Erra Fazira dan Siti Elizad.

Berita Harian X