Sabtu, 12 Ogos 2017 | 12:01am
FATHIA akur menerima takdir yang tertulis. - Foto Rohanis Shukri
FATHIA akur menerima takdir yang tertulis. - Foto Rohanis Shukri

Fathia tak kesal tak jadi kahwin

KUALA LUMPUR: Biarpun sarat menahan luka apabila impian untuk melangkah ke jinjang pelamin dengan jejaka A berkecai di pertengahan jalan, pelakon jelita, Nur Fathia Abdul Latiff, 30, akur menerima takdir yang tertulis.

Enggan berkongsi punca utama yang menyebabkan hubungan percintaan mereka terlerai beberapa minggu lalu, Fathia mengakui, gerak hati dan beberapa petunjuk yang diberikan Allah membuatnya nekad untuk kembali bersendirian.

"Bohong jika saya tidak kecewa kerana bagi saya, A adalah calon suami yang terbaik. Namun, kuasa Allah melangkaui segala-galanya. Kami hanya mampu merancang, namun Allah yang menentukan segala-galanya.

"Cukup jika saya katakan, antara kami tiada keserasian. Saya juga rela menangis sekarang. Untuk apa bertahan dan memaksa diri meneruskan hubungan ini? Lebih baik saya berundur awal daripada membiarkan diri terus terluka," katanya kepada BH.

Mengakui keputusan berat itu diambil ketika perasaan sayang masih mendalam, bakat yang pernah dijulang sebagai Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 itu mengakui, cinta semata-mata bukan jaminan utama untuk dia terus mengecap bahagia.

FATHIA tidak terdesak untuk segera berkahwin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
FATHIA tidak terdesak untuk segera berkahwin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Luka masih terasa

Baginya, alam perkahwinan hanya ingin dilalui sekali seumur hidup dan Fathia tidak ralat membuat keputusan itu demi masa depan.

"Saya perlu berani membuat keputusan terbaik untuk masa depan. Putus cinta memang menyakitkan, tetapi saya percaya luka ini hanya sementara. Lambat-laun, ia pasti akan sembuh," katanya.

Pelakon yang popular menerusi deretan drama seperti Ariana Rose, Dia Isteri Luar Biasa dan Plan Cinta Tak Jadi itu berkata, dia tidak suka mempermainkan hati dan perasaan orang. Namun, keserasian yang tidak ditemui membuatkan dia nekad mengundur diri.

"Dalam perhubungan, saya mencari lelaki yang jujur, ikhlas dan tidak mengongkong. Bapa pernah memberikan nasihat supaya tidak terburu-buru. Dia mahu kami berkawan dulu selama enam bulan untuk mengenali hati budi.

"Saya dan A mulai rapat sejak beberapa bulan lalu, tetapi ada beberapa perkara yang berlaku membuatkan saya tidak mahu membuang masa apabila hati mula menaruh syak wasangka," katanya.

Fathia berkata, bukan tidak memberikan peluang kerana hubungan mereka masih baharu, namun hatinya kuat mengatakan A bukan ditakdirkan menjadi miliknya.

"Bekas kekasih amat menghormati orang lain dan baik hati. Tetapi ada beberapa perkara berlaku yang membuka mata. Sejak itu, saya menyedari, tiada guna lagi saya membuang masa dan terus berharap kepada perhubungan ini," katanya.

FATHIA akui lebih tenang dan bahagia bersendirian. - Foto Rosdan Wahid
FATHIA akui lebih tenang dan bahagia bersendirian. - Foto Rosdan Wahid

Percaya gerak hati

Fathia berkata, apa yang berlaku tidak sesekali membuatnya serik untuk bercinta lagi. Pengalaman beberapa kali putus cinta membuatkan beliau lebih berhati-hati dan sentiasa percaya kepada gerak hati sendiri.

"Ibu selalu berpesan, jangan kerana pertanyaan orang sekeliling, saya terdesak untuk segera mencari jodoh. Ibu tidak mahu saya memperjudikan masa depan apabila terus menerima lamaran yang datang. Ada benarnya kata ibu itu.

"Saya tidak terdesak untuk segera berkahwin. Saya akui lebih tenang dan bahagia sendirian. Soal jodoh, biarlah Allah yang menentukannya. Mungkin ini ujian untuk saya. Tuhan berikan saya keselesaan hidup tetapi saya sering diuji apabila kerap gagal dalam percintaan.

"Secara peribadi, saya sudah letih mahu bercinta, tetapi saya perlu terima ketentuan Ilahi," katanya yang bakal menjadi duta produk kecantikan, Cindella Snow.

PELAKON, Fathia atau nama sebenar Nur Fathia Abdul Latiff. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PELAKON, Fathia atau nama sebenar Nur Fathia Abdul Latiff. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

INFO

  • Fathia mengenali A ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Lelaki itu membuka pintu hatinya yang pernah terkunci rapat selepas putus cinta dengan aktor, Aiman Hakim Ridza, dua tahun lalu.
  • Biarpun sudah enam tahun saling mengenali, hubungan mereka mulai rapat sebelum Ramadan lalu.
  • Pernah merancang untuk menamatkan zaman gadisnya pada akhir tahun ini, namun ia tidak menjadi kenyataan apabila hubungan cintanya berakhir, beberapa minggu lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X