Isnin, 14 Ogos 2017 | 12:13am
SHARNAAZ turut menganggap tawaran berlakon drama panjang tidak seiring dengan bayaran diberikan.

Sharnaaz ceburi sektor pembinaan, sukan golf

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharnaaz Ahmad, menyimpan hasrat menyertai pertandingan golf, malah menyasar tempoh dua atau tiga tahun lagi untuk melunaskan impiannya itu.

Beliau sudah mengikuti kelas permainan golf dan kini mampu bermain sukan yang dianggap mahal itu dengan lebih baik.

Pada awalnya, akui bintang Juvana ini, beliau sekadar suka-suka membeli peralatan golf namun berasakan ia membazir andai dibiarkan begitu saja.

SHARNAAZ sasar tempoh dua hingga tiga tahun lagi untuk menyertai pertandingan golf.

"Sudah lama sama membeli peralatan golf, cuma selama ini ia tersimpan begitu saja. Jadi, daripada membazir, saya ikuti kelas bermain golf. Sekarang, boleh dikatakan saya sudah boleh bermain dengan lebih baik.

"Dalam masa sama, aktiviti ini juga membantu saya mengenali kenalan baharu dalam bidang perniagaan," katanya yang ada kala menyertai rakan pelakon, Johan As'ari di padang.

Aktor berusia 32 tahun itu kerap juga berkongsi video aksinya di padang golf di laman Instagram dan rata-rata pengikut beliau memberikan sokongan terhadap hobi baharunya itu.

Sementara itu, bercerita mengenai bidang lakonan, Sharnaaz mengakui beliau kurang aktif di depan kamera selepas mendirikan rumah tangga.

Bukan sudah mengangkat bendera putih, namun katanya, beliau tercari-cari naskhah yang belum pernah dilakonkan olehnya sebelum ini.

SELEPAS sekadar suka-suka membeli peralatan golf, Sharnaaz berasa membazir jika dibiarkan begitu saja.

Pada masa sama, suami kepada Noor Nabila Mohd Noor, 32, ini sibuk menguruskan perniagaan dalam bidang pembinaan yang baru diceburi.

"Bukan saya tidak mahu berlakon, cuma naskhah yang diterima setakat ini tidak berapa sesuai dan agak terkeluar daripada apa yang saya mahukan.

"Saya sukakan komedi, tetapi karya lawak yang dihulurkan kurang memikat. Saya juga pernah berlakon dalam naskhah romantik, jadi tiada apa yang berbeza.

"Drama yang dihasilkan sekarang pula kebanyakannya sampai berpuluh-puluh episod. Saya tidak mahu terima sebab ia memerlukan komitmen tinggi dan saya takut ia tak berbaloi.

"Rasanya agak membazir kalau saya habiskan masa sampai berbulan-bulan bagi sesuatu projek yang tidak memberikan hasil," katanya.

SHARNAAZ sudah mengikuti kelas golf dan kini sudah mampu bermain dengan baik.

Pelakon ini turut menganggap tawaran berlakon drama panjang tidak seiring dengan bayaran diberikan.

Katanya, seharusnya bentuk tawaran yang datang perlulah munasabah dengan bayaran diterima seseorang pelakon.

Tegas Sharnaaz lagi, pelakon juga perlu memikirkan mengenai masa dan tenaga yang dikeluarkan bagi menjayakan sesebuah karya panjang.

"Saya perlu meneliti bayaran dijanjikan sebelum menerima tawaran terbabit kerana ia membabitkan masa yang panjang dan pada masa sama, ada kerja lain perlu dilakukan.

"Saya tengok, pelakon baharu sekarang mudah berasa selesa dengan bayaran yang diberikan kepada mereka. Sedangkan, sebagai pelakon kita kena fikir juga keperluan lain serta jangan mudah berasa selesa.

"Selain itu, saya juga mempunyai syarikat produksi sendiri, jadi masa saya agak terhad untuk menerima karya yang membabitkan episod panjang sebegitu," katanya.

AKTIVITI golf juga membantu Sharnaaz mengenali kenalan baharu dalam bidang perniagaan.

Ujar Sharnaaz, berikutan dirinya pernah belajar dalam bidang logistik, jadi beliau sedikit sebanyak berpengetahuan dalam pengurusan perniagaan berasaskan perkara itu.

"Saya mahukan sesuatu yang baharu dan tidak boleh bergantung harap kepada dunia lakonan semata-mata. Selepas berumah tangga, banyak tanggungjawab perlu saya pikul.

"Apabila memiliki anak nanti, lagi banyak perkara yang perlu saya fikirkan," katanya yang masih berusaha memiliki zuriat selepas mendirikan mahligai bersama kakak kepada Neelofa pada Mac lalu.

Info:

  • Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang pada 29 Ogos 1985
  • Bekas pelajar Kolej Polytech MARA dalam jurusan perakaunan perniagaan
  • Mula berlakon pada 2009 menerusi drama Tari Tirana
  • Pernah memenangi kategori online Artis Paling Kontroversi, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-28
  • Memenangi trofi Pelakon TV dan Filem Lelaki Popular, ABPBH 29.

Berita Harian X