Isnin, 14 Ogos 2017 | 3:14pm
AJAI dan Saharul Ridzwan bergabung dalam lagu Buku Putih.

Saharul Ridzwan jadi rapper

KUALA LUMPUR: Daripada berseloroh, pelakon Saharul Ridzwan akhirnya menjadi rapper dalam single baharu, Buku Putih, dendangan Ajai yang siap dirakamkan, baru-baru ini.

Ini bermakna bapa kepada Muhammad Luth Ali itu mengikut jejak pelawak, Zizan Razak menyumbangkan suara pada bahagian rap dalam lagu.

Lebih mengujakan, lagu yang liriknya dihasilkan Ajai dan Saharul itu dikatakan bakal dicalonkan dalam program Muzik Muzik 32 terbitan TV3, tidak lama lagi.

"Peluang ini datang tanpa diduga. Dalam single ini, saya bukan menyanyi ikut melodi tetapi sekadar menjadi tukang rap.

"Semuanya bermula apabila saya berseloroh dengan isteri Ajai iaitu Kak Liza, kira kira lima bulan lalu. Saya beritahu Kak Liza suruhlah Abang Ajai cipta lagu, saya nak menyanyi rap.

"Tak sangka pula, Kak Liza beritahu suaminya betul-betul. Dipendekkan cerita, suatu hari, saya lepak di studio rakamannya.

"Abang Ajai ajak buat lirik bersama dan dia masukkan melodi. Daripada melodi yang dicipta dengan lirik yang 'masuk' ia diolah hingga terhasillah lagu Buku Putih.

"Saya anggap peluang ini sebagai rezeki terpijak," katanya kepada BH Online.

Saharul yang juga suami kepada Qaabila Deena Emir berkongsi pengalamannya menjadi rapper dalam laman Instagram, baru-baru ini.

Namun, bintang Hati Perempuan ini sedar dirinya bukanlah penyanyi profesional.

"Saya tahu suara ini tidak sampai jika mahu menyanyi penuh, setakat rap bolehlah. Saya lakukan ini bagi mencabar kemampuan diri," katanya.

Mahu terus berlakon, Saharul akan memulakan penggambaran sebuah telefilem untuk TV3, tidak lama lagi.

"Lakonan masih menjadi suatu bentuk keghairahan dan semangat buat saya.

"Selepas ini, saya ada dua lagi drama yang diterbitkan produksi Sheila Rusly. Akhir November depan, saya dijangka memulakan penggambaran sebuah filem pula," katanya.

Berita Harian X