Selasa, 15 Ogos 2017 | 12:00am

Aliff berpatah arang dengan Afifah

ARTIS kontroversi, Aliff Aziz, mengaku gandingannya bersama pelakon, Afifah Nasir, dalam drama Izinkan Aku Mencintaimu mungkin menjadi yang pertama dan terakhir buat dirinya dalam dunia seni.

Walaupun dari sudut profesional, beliau tidak mampu untuk menyatakan enggan melakukan sesuatu perkara mengikut kehendak diri, beliau seboleh-bolehnya mahu menjauhi sesuatu tindakan yang mampu membuka kisah lalu.

"Buat waktu sekarang, jika melihat dari sudut kerja profesional, saya tak boleh cakap enggan berbuat begitu dan begini.

"Namun, dari sisi kemanusiaan dan dengan pengalaman saya lalui, tanpa perlu menyalahkan sesiapa dan mengakui silap sendiri, ia membuka mata saya dan menjadi pengajaran terbesar sebagai insan. Saya lihat ada manusia yang sanggup buat apa saja untuk kepentingan dan menutup khilaf diri.

"Saya percaya buat masa ini, heroin lain pun akan berhati-hati jika dapat tahu akan bergandingan dengan saya. Begitu juga dengan saya. Namun, secara khusus buat pelakon itu (Afifah), gandingan kami ini mungkin yang pertama dan terakhir. Noktah. Saya berbuat begitu kerana mahu mengelak kesan dan perkara lama terbuka semula. Lebih baik saya jauhi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama BH di ibu kota, baru-baru ini.

ALIFF Aziz (kiri) bersama Bella Astillah pada sidang media berhubung masalah rumah tangga mereka, baru-baru. - Foto NSTP/Osman Adnan
ALIFF Aziz (kiri) bersama Bella Astillah pada sidang media berhubung masalah rumah tangga mereka, baru-baru. - Foto NSTP/Osman Adnan

Aliff Aziz dan Afifah Nasir (kiri) di lokasi pengambaran Drama Izinkan Aku Mencintaimu. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Aliff Aziz dan Afifah Nasir (kiri) di lokasi pengambaran Drama Izinkan Aku Mencintaimu. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Hadir sama pada sesi temu bual itu adalah isterinya, Bella Astillah, 23.

Menjawab pertanyaan apakah beliau serik dengan produksi berkenaan, Mahligai Serimas, Aliff, 26, berkata pihak terbabit sangat profesional.

"Kalau bercakap soal produksi, ia membabitkan banyak pihak, termasuk kru. Bagi saya, pihak penerbit drama ini sangat baik dan profesional.

"Namun apabila bekerja dengan produksi, bukan semua yang bekerja itu kepunyaan mereka. Ada yang bekerja sambilan atau mewakili produksi itu untuk tempoh tertentu saja.

"Saya pula tidak serik untuk bekerja dengan produksi ini. Namun, dengan apa yang terjadi dan andai ada peluang bekerjasama di bawah produksi sama, saya kena lebih berhati-hati.

"Saya juga berharap produksi ini tak serik untuk menawarkan saya peluang berlakon lagi.

"Tak semestinya orang baik tiada masa lampau dan tidak semestinya juga orang jahat tak ada masa depan. Doa yang baik-baik," katanya.

AFIFAH Nasir (kanan) turut mengadakan sidang media berhubung kontroversi dengan Aliff Aziz. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
AFIFAH Nasir (kanan) turut mengadakan sidang media berhubung kontroversi dengan Aliff Aziz. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Hujung bulan lalu, industri hiburan kecoh dengan cerita penahanan Aliff yang dikatakan mengasari isterinya, yang masih dalam pantang, dalam satu pergelutan di sebuah pusat hiburan apabila wanita itu menemui beliau dan Afifah bersama di premis terbabit.

Aliff tampil memohon maaf dan mengaku salah keluar dengan pelakon wanita itu pada sidang media beberapa hari kemudian, manakala laporan polis terhadapnya juga ditarik balik oleh isteri.

Sementara itu, andai diberikan pilihan, pasangan suami isteri terbabit mahu saja memadamkan terus segala konflik serta kemelut yang melanda mereka sejak penghujung Julai lalu.

Kedua-duanya juga enggan lagi mengenang kisah terbabit, sebaliknya mahu membuka buku baharu.

Kontroversi membabitkan Aliff, Bella dan Afifah, 24, sememangnya cukup besar impaknya, bukan saja kepada kehidupan pasangan berkenaan, malah Afifah.

Apatah lagi ia turut mengaitkan sekali produksi drama lakonan dua artis terbabit.

"Sebagai figura awam, apa yang dapat saya pelajari daripada insiden terbabit, sesuatu yang sekecil zarah pun boleh menjadi besar. Ia akan membabitkan ramai pihak jika tersalah percaturan dan tidak berhati-hati.

"Dalam tempoh dua minggu ini juga, pengalaman bergelut dengan isteri kerana wanita lain serta ditahan di lokap, membuatkan saya bermuhasabah diri.

"Saya juga banyak berbincang dengan isteri mengenai apa yang terjadi. Apakah isteri sudah okay dengan apa yang dilaluinya pada saat masih berpantang dan apa bukti serta langkah yang saya boleh buat untuk terus menebus kesilapan?" ujar Aliff.

ALIFF Aziz berusaha memperkukuhkan kepercayaan yang diberikan isterinya- Foto Ihsan The Photolicious Wedding Photographer
ALIFF Aziz berusaha memperkukuhkan kepercayaan yang diberikan isterinya- Foto Ihsan The Photolicious Wedding Photographer

Mengaku sudah penat dengan isu itu, Aliff turut menyatakan beliau dan isteri sepakat untuk memandang ke depan.

"Tidak perlu untuk kami mengenang cerita lalu. Saya dan isteri pun sudah penat dengan isu ini. Saya sendiri sudah memohon maaf kepada isteri, terutamanya, yang masih memberikan peluang kedua.

"Jadi, inilah masa dan ruang untuk saya membuktikan perubahan itu dengan perbuatan. Saya dan isteri banyak menghabiskan masa bersama anak. Saya dan isteri pun selalu keluar makan dan tengok wayang bersama," kata bintang kelahiran Singapura itu.

Tambah penyanyi lagu Sayang Sayang Sayang itu, beliau turut mempelajari bagaimana untuk memperkukuhkan lagi kepercayaan diberikan Bella kepadanya.

"Jangan lakukan perkara yang boleh membuatkan kepercayaan isteri jadi pudar. Apabila kepercayaan sudah tiada, semuanya akan jadi susah dan tak berguna lagi.

"Dengan kontroversi yang melanda juga, saya tidak pernah pamerkan diri sebagai mangsa atau tak bersalah. Sejak awal saya mengaku setiap kesilapan. Pengakhiran cerita ini tamat pada 10 Ogos lalu apabila pihak media berjaya mendapatkan kenyataan pengarah drama berkenaan, yang menidakkan dakwaan kononnya wujud perancangan seperti yang dinyatakannya.

"Terpulanglah apa yang orang nak cakap dan pihak pelakon lagi satu nak pertahankan. Saya dan isteri tawakal. Jika terus dibincangkan, ia hanya akan membuatkan luka lama berdarah kembali, terutama buat isteri.

"Saya tidak perlu katakan diri ini betul atau salah, mahupun buat macam tak bersalah. Jawapan sudah jelas di mana cerita ini berakhir. Saya yakin rakyat Malaysia bijak menilai kerana semua kebenaran sudah keluar menerusi sidang media, artikel dan temu bual," katanya.

Pada kesempatan itu juga, Aliff dan isteri berterima kasih kepada peminat yang mendoakan kebahagiaan mereka, selain media yang menurutnya, melaporkan kes terbabit dengan jelas, dari awal hingga akhir.

Bella yang setia menemani suami pula berharap rumah tangga yang dibina akan terus aman dan makmur, tanpa diganggu-gugat anasir luar.

"Inilah ujian Tuhan buat saya dan Aliff. Kami sendiri sentiasa mengingatkan, ujian akan terus diberikan Tuhan buat hamba-Nya. Kita takkan tahu ujian apa pula yang akan datang selepas ini.

"Apa yang kami lalui sebelum ini sangat besar. Ia ujian buat saya sebagai isteri yang baru bergelar ibu, bukan sebagai kekasih. Saya dan Aliff tak mahu terus larut dengan apa yang terjadi. Kita fikir ke depan dengan matang," kata Bella.

Beliau juga berkata, tiada gunanya juga untuk membiarkan dirinya terus diulit perasaan ragu selepas memberikan kepercayaan baharu kepada suaminya itu.

"Ragu? Aliff bukan budak kecil lagi. Tiada guna untuk saya terus statik dengan perasaan begitu. Saya memberikannya kepercayaan baharu dan peluang kedua. Harap tak jadi lagi seperti sebelum ini.

"Selebihnya, saya serahkan hubungan kami ini kepada Yang Maha Esa. Moga ikatan perkahwinan kami akan sampai ke jannah, Insya-Allah. Doa yang terbaik," katanya.

Bella turut berharap wanita di luar sana saling menghormati antara mereka, tanpa mengira status masing-masing.

"Tak kiralah apa status anda, berkahwin atau belum, hormatilah sesama kita. Tak perlu berlawan atau mengambil kesempatan memusnahkan hidup wanita lain.

"Harap semua wanita di luar sana akan terus kuat mempertahankan maruah kita. Hormat diri dan juga pasangan anda serta keluarga," katanya.

ALIFF Aziz dan isteri mahu melupakan kontroversi yang berlaku. - Foto Ihsan The Photolicious Wedding Photographer
ALIFF Aziz dan isteri mahu melupakan kontroversi yang berlaku. - Foto Ihsan The Photolicious Wedding Photographer

Kronologi kontroversi:

* Pada 27 Julai lalu, media melaporkan Aliff ditahan polis atas dakwaan mengasari isterinya di sebuah pusat karaoke di Cheras. Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang, Bella yang masih dalam pantang ke premis terbabit bersama ibunya sebelum menemui lelaki itu bersama Afifah dalam bilik karaoke.

* Pada 28 Julai, Aliff ditahan polis dan berada dalam lokap Balai Polis Dang Wangi selama dua malam. Bella kemudian menarik laporan dibuat terhadap suami.

* Aliff dan Bella mengadakan sidang media pada 31 Julai lalu di Bukit Jelutong, iaitu lokasi mereka berkahwin pada September tahun lalu. Ketika sidang media, Aliff mengaku kesilapannya keluar dengan rakan gandingannya dalam drama Izinkan Aku Mencintaimu, Afifah. Aliff turut memohon maaf secara terbuka kepada isteri, keluarga, peminat dan masyarakat. Bella turut memaafkan Aliff demi anak mereka.

* Genap seminggu, pada 7 Ogos pula, Afifah mengadakan sidang media di pejabat peguamnya di Solaris Dutamas. Afifah mendakwa dirinya bagai dianiaya pihak produksi berikutan usaha mereka mahu memujuk Aliff menyebabkannya terheret dalam kontroversi terbabit. Adik kepada Anzalna itu mengakui langsung tidak menyimpan perasaan terhadap Aliff, jauh sekali mahu merosakkan rumah tangga pelakon itu bersama isterinya.

* Pada 8 Ogos Aliff mempersoalkan tindakan Afifah membabitkan syarikat produksi dalam kontroversi itu, terutama dakwaan kononnya beliau diminta melayan kerenah beliau bagi melancarkan penggambaran. Aliff menganggap dakwaan itu sebagai mengarut.

* Pada 10 Ogos, pengarah drama terbabit, Manchi, menafikan dakwaan Afifah kononnya beliau dipergunakan oleh produksi. Katanya, sepanjang penggambaran berlangsung, tiada arahan sedemikian dikeluarkan pihaknya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X