Khamis, 17 Ogos 2017 | 5:56pm

Stacy tuju lagu buat pejuang papan kekunci


STACY akan memulakan penggambaran muzik video single Cakap Ke Tangan, minggu depan.

KUALA LUMPUR: Sikap pejuang papan kekunci yang cenderung mencari kesalahan orang lain terselit dalam single terbaharu penyanyi berasal dari Sabah, Stacy.

Dicipta suami, Akim Ahmad, single berjudul Cakap Ke Tangan adalah hadiah buat peminat yang sudah lama menunggu Stacy muncul dengan lagu baharu selepas melahirkan anak perempuan, Eshaal, yang berusia enam bulan.

Single yang dicipta secara spontan oleh suami tersayang, dijangka dilancarkan, tidak lama lagi.

Teruja dengan lagu baharu itu, Stacy atau nama penuhnya, Ummu Shaikah Stacy Anam memberitahu, single Cakap Ke Tangan mencabar dirinya untuk kembali beraksi.

"Lagu ini ibarat inisiatif buat saya mencabar diri untuk menyanyi dan menari selepas berehat panjang.

"Tidak mahu semput di pentas, saya mula bersenam dan mengamalkan diet," katanya kepada BH Online.


SINGLE Cakap Ke Tangan mencabar Stacy untuk kembali beraksi.

Stacy berkata, single Cakap Ke Tangan berbeza dalam aspek genre muzik berbanding lagu yang pernah dirakamkan.

"Lagu ini ibarat gabungan beberapa warna yang melambangkan kekuatan.

"Saya juga akan memulakan penggambaran muzik video single ini, minggu depan," katanya sambil menambah dia memilih produksi sama dengan muzik video single Not For Sale yang dilancarkan, beberapa tahun lalu.

Akim dan Stacy mendirikan rumah tangga pada 5 Februari tahun lalu di Kota Kinabalu, Sabah.

1327 dibaca
Berita Harian X