Khamis, 17 Ogos 2017 | 9:17pm
QUE Haidar. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Saya tak dengki - Que Haidar

KECOH dunia hiburan apabila aktor berbakat besar, Que Haidar menempelak artis baharu dengan gelaran 'kayu' sehingga ada yang mengaitkan pelakon kacak, Fattah Amin menjadi sasaran bintang Ophilia itu.

Kritikan pedas itu mendapat perhatian ramai karyawan seni termasuk penerbit dan pengarah, Aziz M Osman yang menganggap kelantangan Que mempersoal tahap kemampuan artis baharu, sebagai tidak wajar.

Apatah lagi, sebelum ini, netizen melabel Fattah sebagai 'aktor kayu' kerana dikatakan gagal menampilkan mutu lakonan meyakinkan biarpun produk yang dibintangi seperti drama Suri Hati Mr Pilot, 'meledak'.

Enggan memanjangkan 'kehangatan' kontroversi itu, Que mengaku cukup menghormati Aziz sebagai insan seni berpengalaman.

"Saya hormati dia dan kerja seninya. Sebagai orang seni yang 'senior', Aziz hanya menyatakan pandangannya.

"Saya tiada masalah dengan Aziz, saya percaya dia juga begitu dengan saya. Aziz juga tahu usaha saya untuk berada dalam dunia seni, malah saya pernah bekerja dengannya.

"Mungkin apa yang ditegur adalah penggunaan bahasa atau cara saya meluahkannya yang dilihat kasar dan salah, ..saya faham perkara itu," katanya kepada BH Plus.

QUE Haidar bersama isteri Linda Jasmine- Foto Zunnur Al Shafiq

Mempertahankan pendirian, suami pereka tari, Linda Jasmine ini mengaku teguran dibuat adalah atas rasa tanggungjawab kepada dunia seni.

"Saya tahu apa yang saya tulis dan kenapa saya melakukannya. Mungkin apa yang saya luahkan kedengaran kasar. Kalau tak kasar, barangkali ia takkan didengari, jadi perhatian dan tular.

"Mungkin Abang Long (merujuk kepada Aziz M Osman) takkan persoalkan saya seperti apa yang dilakukannya.

"Tujuan saya adalah supaya apa yang diluahkan itu 'sampai'. Jangan ambil yang jahat (nilai daripada sudut negatif) daripada apa yang saya luahkan. Sebaliknya, ambil yang baik.

"Apa yang tak sedap didengar itulah yang saya mahu ia didengari," kata Que yang mula berlakon filem pada usia 24 tahun.

Que memberitahu, kritikannya itu bukan bermaksud dirinya cemburu atau dengki dengan pelakon baharu yang sering menjadi perhatian penerbit sekarang.

"Saya tak bermaksud mahu menidakkan soal rezeki dan tuah. Apa yang saya jentik itu bangkit atas rasa tanggungjawab serta sayang kepada diri sendiri dan dunia seni.

"Apa yang saya luahkan adalah supaya pelakon baharu yang berpeluang mewarnai persada seni, memperbaiki kelemahan yang ada.

"Setidak-tidaknya, andai ada usaha mereka untuk meningkatkan mutu lakonan, 'tempias' kepada pelakon baharu lain yang bekerja keras tetapi tiada pakej paras rupa menarik dan peluang, tidaklah teruk sangat," katanya.

Memberi contoh mudah, Que berkata, artis ada nama seperti Nadiya Nisaa, Sharifah Amani dan Sherry Alhadad sanggup menghadiri bengkel lakonan percuma yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) biarpun mereka sudah kukuh dalam industri.

"Sedangkan pelakon baharu yang sudah diangkat menjadi popular dan tawaran berlakon tanpa henti, tidak ada usaha untuk datang ke bengkel mengasah bakat mereka.

"Mungkin mereka fikir ilmu lakonan dapat dipelajari ketika masuk ke set penggambaran saja," katanya.

Biodata

  • Nama sebenar : Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar
  • Nama komersial : Que Haidar
  • Umur : 38 tahun
  • Asal : Felda Taib Andak, Kulai, Johor.
  • Karier : Pelakon dan penyanyi
  • Aktif sejak : 2005
  • Filem : Antaranya Zombie Kampung Pisang, Castello, Cinta dan Setem.

Berita Harian X