Sabtu, 19 Ogos 2017 | 5:57pm
Tiz Zaqyah. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Saya boleh dampingi bekas kekasih'

KUALA LUMPUR: Selepas lima tahun membawa haluan masing-masing, pelakon Tiz Zaqyah tidak kekok apabila kembali digandingkan dengan bekas kekasihnya, Remy Ishak dalam drama bersiri sempena sambutan Hari Kebangsaan, Anak Merdeka.

Tiz atau nama sebenarnya, Siti Zaqyah Abdul Razak, 28, berkata, dia hanya tahu bakal digandingkan dengan Remy ketika sesi bacaan skrip, namun tidak mempunyai masalah untuk berlakon bersama-sama atas dasar profesional.

"Kami sudah membuang jauh perkara lama dan bersikap profesional ketika di lokasi penggambaran. Mungkin bagi sesetengah pelakon, sukar untuk kembali mendampingi bekas kekasih tetapi tidak bagi saya.

"Selama tiga bulan menjalani penggambaran, kami menjalankan tanggungjawab sebagai rakan sekerja dengan baik. Kematangan mengajar saya supaya tidak bermusuh dengan sesiapa dan tidak mengungkit perkara lalu.

"Tambahan pula, Anak Merdeka ialah naskhah berkualiti dan peluang beraksi dalam produksi berlatarkan kisah patriotik tidak selalu datang. Peluang menjayakan projek besar ini saya anggap sebagai penghormatan," katanya.

Drama bersiri enam episod terbitan Angsana Production itu turut diarahkan Kabir Bhatia yang pernah menaikkan nama dua pelakon itu ketika membintangi drama rantaian popular, Nur Kasih, enam tahun lalu.

Bergandingan sebagai suami isteri, Tiz yang diangkat sebagai Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2009 berkata, tidak sukar mencari keserasian dengan Remy memandangkan masing-masing sudah berpengalaman.

"Semuanya menjadi mudah kerana saya sudah memahami cara kerja Remy. Lebih-lebih lagi apabila Kabir turut terbabit sebagai pengarah dalam satu episod, membuatkan saya teruja kerana ini seperti pertemuan semula tenaga produksi Nur Kasih.

"Kami sudah lama bekerja dalam bidang ini dan tahu cara untuk beraksi setiap kali berdepan dengan kamera. Alhamdulillah, tidak ada apa-apa isu yang timbul dan Remy juga memberikan kerjasama yang baik," katanya.

Selain Tiz dan Remy, drama bersiri itu turut menampilkan Thanuja Ananthan dan Elvis Chan sebagai pelakon utama.

Berita Harian X