X
Sabtu, 19 Ogos 2017 | 11:32pm

Dituduh perampas, Faye Kusairi tetap positif

KUALA LUMPUR: Lebih setahun dibelenggu kontroversi yang berterusan menghambat langkah, segala pengalaman itu membentuk pelakon Faye Kusairi menjadi lebih positif dan matang dalam menangani emosi.

Faye, 30, mengakui kehidupannya kini semakin tenang, malah persepsi negatif masyarakat terhadapnya juga mula terhakis apabila menerima permohonan maaf menerusi mesej peribadi yang dihantar menerusi laman sosial.

"Ramai rakan artis, terutama pelakon senior yang memberikan kata semangat dan mahu saya bangkit meneruskan hidup. Ia memberi makna yang besar dan menaikkan semangat saya untuk kembali mencari kekuatan diri," katanya.

Faye berkata, hatinya semakin tenang apabila sebahagian pengikut di laman sosial sudah mula membuka mata dan menghantar mesej peribadi memohon maaf kepadanya. Mereka mengaku bersalah kerana pernah melemparkan pelbagai kata cemuhan terhadapnya gara-gara kontroversi yang berlaku.

"Ada yang mengakui, mereka bersimpati dengan apa yang berlaku. Jika bertemu peminat, mereka akan mengusap bahu dan meminta saya supaya bersabar menempuhi dugaan. Saya terharu apabila orang luar berbuat begitu.

FAYE mengakui, masih menanti rezeki untuk hamil dan menimang cahaya mata. - Foto Aziah Azmee
FAYE mengakui, masih menanti rezeki untuk hamil dan menimang cahaya mata. - Foto Aziah Azmee

"Saya tidak salahkan mereka yang pernah menuding jari kepada saya selama ini kerana mereka tidak tahu apa sebenarnya berlaku," katanya.

Setahun lalu, nama Faye hangat diperkatakan apabila terpalit dengan kontroversi sebagai orang ketiga yang menjadi punca keretakan rumah tangga penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein dengan pengarah, Azmi Hatta.

Rentetan drama dan episod perbalahan antara mereka di laman sosial menghangatkan lagi isu itu, membuatkan Faye atau nama sebenarnya, Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi terus terheret dalam kemelut kontroversi berpanjangan.

Faye yang mendirikan rumah tangga dengan Azmi pada 8 April lalu akur, dia tidak mampu membendung tanggapan masyarakat yang terus melabelnya dengan pelbagai gelaran negatif.

"Setiap kali membabitkan cerita mengenai isu perampas, masyarakat pasti mengaitkannya dengan saya. Hingga kini, saya masih terpalit dengan gelaran itu dan ia belum terpadam daripada ingatan mereka. Secara peribadi, saya tidak terkesan langsung dengan kontroversi itu.

"Ada ketika, saya kasihan dan bersimpati dengan mereka yang masih terus mempercayai cerita tidak betul," katanya.

FAYE Kusairi menjadi lebih positif dan matang dalam menangani emosi. - Foto Aziah Azmee
FAYE Kusairi menjadi lebih positif dan matang dalam menangani emosi. - Foto Aziah Azmee

Mental semakin kuat

Faye berkata, dia juga tidak mahu kontroversi lalu terus membayangi kehidupannya hingga menjadikannya begitu negatif mengharungi masa depan. Baginya, apa yang berlaku membuka mata dan fikirannya supaya lebih matang serta tidak mudah melatah.

"Setiap perkara buruk yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri. Saya kini semakin kuat dari segi mental dan emosi, malah diri juga bebas. Alhamdulillah, kalau orang lain mungkin mereka akan terus baran tetapi saya tidak.

"Selagi kuat orang menghentam saya, saya akan tetap tenang. Selagi orang menekan, saya semakin senang. Saya tidak tahu dari mana ketenangan itu datang, tetapi saya percaya itu hikmah yang Allah berikan," katanya.

PELAKON, Faye Kusairi. - Foto Aziah Azmee
PELAKON, Faye Kusairi. - Foto Aziah Azmee

Menanti rezeki timang cahaya mata

Selepas empat bulan berumah tangga, Faye mengakui, masih menanti rezeki untuk hamil dan menimang cahaya mata. Faye bagaimanapun, tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu, malah menyerahkan urusan itu kepada ketentuan rezeki.

"Siapa yang tidak mahu timang anak? Setakat ini, masih belum ada tanda untuk saya dan suami menimang cahaya mata. Jika ada, sudah tentu saya teruja kerana saya dan suami tidak merancang. Azmi mahu kami segera menimang cahaya mata.

"Saya pula tidak kisah kerana perancangan Allah adalah yang terbaik. Doakan saja yang baik-baik. Saya tidak kekok menimang bayi kerana pernah mempunyai pengalaman menjaga dua anak kakak sehingga mereka mencecah usia dua tahun.

"Saya juga tiada masalah menjaga anak tiri kerana kami rapat," katanya yang aktif dengan sukan lasak lumba kereta.

KUALA LUMPUR 10 AUGUST 2017. (UNTUK HID) Pelakon, Faye Kusairi. NSTP/ AZIAH AZMEEAziah Azmee
KUALA LUMPUR 10 AUGUST 2017. (UNTUK HID) Pelakon, Faye Kusairi. NSTP/ AZIAH AZMEEAziah Azmee

INFO

  • Faye memulakan kerjaya seni menerusi filem Cinderella arahan Ahmad Idham yang turut dibintangi Nelydia Senrose dan Fizo Omar pada 2013.
  • Namanya melonjak selepas membintangi drama bersiri, Istikharah Cinta (Slot Akasia) di TV3. Dia memegang watak utama, bergandingan dengan Zul Ariffin.
  • Pernah menghasilkan single Kau Biarkan yang menjadi lagu runut bunyi drama yang dibintanginya iaitu Pujaan Hati Umi.
  • Pernah muncul dalam drama bersiri, Setia Menunggumu siaran HyppTV.

Berita Harian X