Selasa, 22 Ogos 2017 | 3:06pm

Tak patut kita gelar pelakon 'kayu' - Azhan Rani

PELAKON, Azhan Rani. - Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Isu mengenai kelantangan Que Haidar menegur pelakon baharu dengan gelaran 'kayu' sehingga membuatkan penerbit dan pengarah, Aziz M Osman, menganggap kenyataan aktor itu dianggap tidak wajar turut mendapat perhatian Azhan Rani.

Memahami luahan Que yang rimas dengan lambakan pelakon baharu tanpa bakat di kaca televisyen, Azhan berkata, sebagai bakat berpengalaman, mereka perlu terbabit sama dalam drama tempatan agar dapat seimbangkan karya berkenaan.

"Sejujurnya saya bersetuju dengan kenyataan Aziz. Kita tidak sepatutnya menggelarkan seseorang pelakon baharu itu 'kayu' kerana kita semua pernah melalui zaman tidak pandai berlakon. Tiada orang yang terus pandai berlakon.

"Mungkin dia (Que) terlalu rimas dengan keadaan itu. Saya sendiri pun kadang-kala tertanya-tanya, kenapa pelakon itu macam ini, kenapa mereka begitu?

"Bagi saya, sebagai orang lama, kita harus bertanggungjawab seimbangkan karya. Kalau kita duduk belakang dan asyik memprotes saja, isu ini tidak akan memberi apa-apa perubahan," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Que atau nama penuhnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, berkongsi pendapat berkenaan di akaun Facebook Movie Addict yang meluahkan rasa kesal ramai pelakon baharu tidak berbakat memenuhi drama tempatan.

Pada masa sama, beliau kesal apabila tiada seorang pelakon baharu pun menyertai bengkel lakonan anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Kelantangan Que membuatkan Aziz bersuara di Twitter dengan status berbaur sinis: 'Cuma mampu senyum pelakon lama kutuk pelakon baru. Padahal dulu dia pun sama.'

Sementara itu, Azhan turut menyeru pelakon lama yang tidak aktif dalam lakonan untuk kembali menyelamatkan industri seni tempatan.

Malah, Azhan juga menyifatkan orang lama tidak harus terasa dengan cara pemilihan pelakon sekarang memandangkan industri sudah pun melalui perubahan mengikut zaman kini.

"Saya berharap agar mana-mana pelakon lama yang tidak mahu berlakon lagi untuk kembali aktif dan seimbangkan apa yang patut. Mana tahu, satu hari nanti stesen televisyen menyediakan cerita sesuai untuk kita?

"Lagipun zaman sudah berubah dan mungkin mereka (pelakon baharu) dilahirkan di ruang selesa. Tambah pula, ini adalah zaman peminat berani mati dan berhempas pulas untuk artis kesayangan mereka, walaupun artis itu tidak berkarya.

"Mereka lebih pertahankan individu, bukannya karya. Keadaan itu agak tidak sihat sebenarnya," tegasnya.

Berita Harian X