Rabu, 23 Ogos 2017 | 10:02pm
PELAKON, Fattah Amin bersama Fazura ketika pertunjukan KL Fashion Week 2017 di Pavilion. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PELAKON, Fattah Amin memberi sejambak bunga kepada Fazura ketika pertunjukan KL Fashion Week 2017 di Pavilion. - Foto Nurul Shafina Jemenon
FAZURA menegaskan dia hanya melakukan perkara yang diminati tanpa perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa saja. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Saya tak kacau orang - Fazura

TIGA tahun berturut-turut diundang menjayakan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) dengan memperagakan koleksi rekaan di bawah jenama House Of Dolls (HOD), membuktikan minat Nur Fazura terhadap bidang itu bukan main-main.

Biarpun jadual harian baik dalam bidang lakonan atau nyanyian padat, ia bukan halangan untuk bintang jelita ini untuk mencuri masa menyiapkan 32 busana bertemakan Love Warrior pada acara paling dinantikan peminat fesyen itu.

Hakikatnya, undangan penganjur acara fesyen terbesar di Malaysia itu membuktikan industri peragaan mengiktiraf penyandang trofi Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 30 ini sebagai pereka fesyen.

Ini menutup mulut sesetengah pihak yang selama ini mempertikai kredibiliti malah menganggap wanita berusia 33 tahun tidak serius dalam bidang berkenaan.

Ketika diajukan soalan itu kepada si empunya diri, Fazura menegaskan, dia hanya melakukan perkara yang diminati tanpa perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa saja.

"Kalau nak cerita pasal mulut orang ini, macam-macam mereka boleh katakan. Tapi sebenarnya, saya memang tidak pedulikan kata-kata mereka.

FAZURA pada malam kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Ini kerana saya akan buat apa saja yang saya nak. Saya juga akan sentiasa fokus dengan lorong saya, orang lain nak buat apa, buatlah.

"Inilah kehidupan dan jalan yang saya pilih. Saya tak kacau orang, jadi jangan kacau saya," tegasnya.

Ditanya apakah dia mempunyai perancangan untuk menghasilkan rekaan berkonsep adi busana selain sedia dipakai yang sinonim dengannya, Fazura berkata, dia hanya akan mengumumkan perkara itu jika benar-benar berlaku.

"InsyaAllah akan datang. Memang kami ada pelbagai rancangan tapi biarlah saya simpan dulu perancangan yang ada. Tak mahulah kecoh-kecoh sebab bimbang jika dihebohkan, nanti tak jadi pula," ujar pelakon J Revolusi ini.

TIGA kali menyertai KLFW membuktikan bahawa minat Nur Fazura terhadap bidang fesyen bukan main-main. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Cinta atasi kebencian

Ditanya mengenai persiapannya menyertai KLFW, Fazura memberitahu, perbincangan untuk konsep busana saja mengambil masa seminggu.

"Untuk rekaan kali ini, saya 'turun padang' untuk memilih material kain yang akan digunakan.

"Saya ada masa tiga hari untuk melakukannya. Memang terkejar-kejar tetapi mujurlah saya dibantu pasukan yang sangat cekap.

"Merekalah yang pergi ke tukang jahit menghantar kain jika saya ke luar negara," katanya.

Fazura berkata, dia sangat bertuah kerana pasukannya mempunyai semangat kerjasama yang sangat baik.

"Mereka saling tolong menolong dalam menyiapkan rekaan ini," katanya.

Mengulas tema 'Love Warrior' pada persembahan di pentas KLFW, Fazura menjelaskan hanya cinta yang boleh menewaskan kebencian.

MODEL mengayakan rekaan Fazura ketika pertunjukan KL Fashion Week 2017 di Pavilion. - Foto Nur Adibah Ahmad

"Koleksi ini adalah diilhamkan daripada peminat yang sentiasa kuat dan saya mahu kita semua mempertahankan cinta.

"Video yang saya tayang sebelum acara bermula menunjukkan kita boleh lawan rasa benci itu dengan cinta," katanya.

Mengenai pemilihan warna pastel pada koleksinya, Fazura berkata:

"Itulah naluri kita sebenarnya. Kalau diselam naluri kita akan ada cinta di dalamnya. Saya gunakan pelbagai jenis kain seperti cotton crepe dan organza dalam koleksi ini," katanya yang menjulang trofi Aktres Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-27.

Tambah Fazura, salah satu koleksi diperagakan iaitu baju sweatshirt yang memaparkan wajahnya, dijangka dipasarkan dalam tempoh tiga bulan lagi dan boleh dibeli secara online.

Info

  • Tahun ketiga memperagakan koleksi fesyen rekaan sendiri, House of Dolls di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW)
  • Berteraskan warna pastel, Fazura membayangkan naluri insan melalui rona itu selain menepati tema 'Love Warrior' pada koleksinya.
  • Antara fabrik digunakan adalah cotton crepe dan organza.
  • Bakal menghasilkan sweatshirt yang dijual secara online.

Berita Harian X