Ahad, 27 Ogos 2017 | 2:03pm
ANDREA bersama tunangnya di majlis pertunangan mereka.

Adrea bertunang dengan juruvideo

KUALA LUMPUR: Selepas lima tahun bergelar ibu tunggal, pelakon, Adrea Abdullah, 40, mengikat tali pertunangan dengan juruvideo, Zul Fadzli Selamat, 28, pada 18 Ogos lalu.

Majlis pertunangan mereka berlangsung di kediaman keluarga Adrea di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Adrea yang sudah 15 tahun berada dalam arena seni berkata, beliau dan pemuda yang juga model sambilan itu saling mengenali sejak hampir empat tahun lalu, namun perhubungan itu terputus seketika.

Apabila bertemu semula, masing-masing menjadi akrab sejak lapan bulan lalu dan serius untuk membawa hubungan terbabit ke tahap lebih bermakna.

"Kami mula berkenalan sekitar Mei 2014 ketika sama-sama terbabit dalam penggambaran sebuah video muzik. Ketika itu, saya menjadi tetamu untuk memeriahkan lagi video berkenaan dan dia pula bertindak sebagai pengarah serta pengarah fotografi.

"Selepas itu, kami pernah bertemu lagi, tetapi bersama pasangan masing-masing. Tak sangka, selepas masing-masing kembali solo, jodoh kuat mempertemukan kembali kami berdua," kata Adrea, pelakon filem Blok 404 yang dijangka menemui penonton pada penghujung tahun ini.

Kata Adrea, majlis yang dirancang asalnya hanya merisik, namun bertukar menjadi majlis pertunangan.

"Ketika ini, belum ada perancangan yang sempurna untuk perkahwinan, bagaimanapun keluarga saya mahu ia dipercepatkan.

"Jadi, mungkin kami akan berkahwin pada hujung tahun ini," katanya sambil memberitahu, jurang usia antara mereka tidak membawa sebarang masalah kepada mereka.

Adrea dan Zul Fadzli turut menubuhkan sebuah syarikat produksi, Xscape Life Production.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Adrea dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 12 tahun.

Selain Blok 404, Adrea juga bakal muncul dengan filem cinta dan aksi, Mendidih Bro, yang akan ditayangkan pada Hari Kemerdekaan ini. Filem terbabit turut dibintangi Juliana Evans dan Azrel Ismail.

Berita Harian X