Ahad, 27 Ogos 2017 | 6:55pm
Pelakon Zizan Razak. - Foto NSTP/Mahzir Mat Isa
Pelakon Zizan Razak. - Foto NSTP/Mahzir Mat Isa

Saya memang mahu jadi bintang filem - Zizan

KUALA LUMPUR: Sejak menceburkan diri dalam bidang lakonan hampir sedekad lalu, aksi Zizan Razak lebih banyak kelihatan di layar perak berbanding skrin kecil.

Akui bakat yang mula dicungkil daripada program Raja Lawak musim pertama pada 2007 ini, beliau sememangnya ingin dikenali sebagai bintang filem, berbanding pelakon TV.

Begitupun, kata bintang 'Abang Long Fadil 2' ini, ia tidak bermakna dirinya akan menolak terus undangan menjayakan drama mahupun telefilem.

"Jika diikutkan, kali akhir saya berlakon dalam drama panjang adalah kira-kira tujuh tahun lalu, menerusi Chapalrela. Andai dihitung pun, rasanya beberapa kali saja saya berlakon dalam drama TV.

"Saya memang ingin menjadi bintang filem. Namun, ia tidak bererti saya menolak untuk muncul di kaca televisyen. Jika ada naskhah yang baik dan kena pada waktunya, saya masih boleh berlakon di TV.

Pelakon, Datuk AC Mizal (dua kiri), Zizan Razak (dua kanan) dan Wak Doyok bergambar bersama peminat ketika menyaksikan tayangan filem Abang Long Fadil 2 bersama peminat di The Starling. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Pelakon, Datuk AC Mizal (dua kiri), Zizan Razak (dua kanan) dan Wak Doyok bergambar bersama peminat ketika menyaksikan tayangan filem Abang Long Fadil 2 bersama peminat di The Starling. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

"Saya juga bukan mengatakan berlakon drama itu membuatkan nama jadi tidak eksklusif. Bahkan, ada naskhah drama yang bagus. Cuma, apabila ada pelakon lain yang lebih stabil dan selesa di kaca TV, jadi rasanya lebih elok mereka saja yang meneruskannya. Saya pula boleh fokus kepada filem," katanya.

Zizan, 33, kali akhir dilihat muncul di kaca televisyen menerusi telefilem Jula Juli Bintang Cinta, bergandingan dengan Mira Filzah. Naskhah arahan Osman Ali itu disiarkan pada pertengahan Julai lalu.

Menurut artis serba boleh dari Terengganu ini, jika tiada aral, beliau teringin untuk muncul dalam dua atau tiga filem setahun.

"Begitupun, jika dalam tempoh setahun saya cuma dapat membintangi sebuah filem yang benar-benar bagus dan berkualiti, ia dikira sudah memadai," katanya yang turut merakamkan lagu runut bunyi berjudul Kaki Licik untuk filem Abang Long Fadil 2.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, penerbit dikhabarkan membuatkan laporan polis kedua, semalam, berhubung kes rakaman haram digital dilakukan individu tidak bertanggungjawab ke atas karya berkenaan.

Dalam kes terbaru, keseluruhan filem arahan Syafiq Yusof itu dirakam rompak dan ia kemudian dimuatnaik ke laman YouTube.

Beberapa hari lalu, sedikit rakaman filem terbabit di pawagam dimuat naik ke laman Instagram dan Skop Production selaku penerbitnya sudah pun membut laporan berkaitan kes itu.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sendiri sudah pun mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Banteras Cetak Rompak Digital dalam usaha mereka menangani gejala terbabit.

"Pihak yang membuat rakaman haram dan memuat naik di media sosial adalah bertentangan dengan Akta Hak Cipta 1987. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman lima tahun penjara dan denda RM5,000 hingga RM20,000," kata Pengerusinya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Berita Harian X