Isnin, 28 Ogos 2017 | 11:46pm
BELLA Dally.- Foto Munira Abdul Ghani

Bella lali soal anak

KETIKA perkahwinan mereka bakal memasuki usia setahun, 10 September depan, seperti isteri lain, Bella Dally juga tidak terlepas daripada ditanyakan mengenai soal anak.

Maklum saja, dilihat sebagai antara pasangan selebriti yang sepadan dan bahagia, tentunya ramai peminat mahu melihat rumah tangga beliau serta suami, Nazim Othman, 32, bertambah berseri dengan kehadiran permata hati.

Begitupun, Bella sendiri tidak berasa tertekan dengan soalan cepu mas berkenaan, sebaliknya menganggap segala pertanyaan mengenai anak menjadi doa buat mereka berdua.

"Saya masih lagi okey apabila ditanyakan mengenai bab hamil. Orang pun faham, kami baru lagi berkahwin, malah mahligai ini akan genap setahun bulan depan. Apapun, kami anggap semua itu sebagai doa. Baik saya mahupun Nazim, kami aminkan saja semua pertanyaan dan harapan orang ramai," katanya.

Ditemui ketika menghadiri acara Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017 di ibu kota, baru-baru ini, Bella juga berkata, seandainya belum ada kepastian mengenai kehamilannya, beliau berharap ia tidak perlulah digembar-gemburkan dan menjadi tajuk media.

NAZIM Othman dan Bella Dally,pada majlis pernikahan mereka tahun lalu.- Foto Mohd Adam Arinin

"Kalau betul-betul mengandung, pasti saya teruja dan gembira untuk berkongsi mengenainya. Ketika itu, kalau betul sah saya mengandung, patutlah jadi tajuk berita," katanya berseloroh.

Ujar wanita berusia 25 tahun ini, beliau sendiri ketika ini berasakan dirinya seperti berdepan masalah pada bahagian perut yang menyebabkan sesetengah pihak menyangka dirinya hamil.

"Bukan anda saja yang bertanya mengenai hal itu, orang lain pun ada menyangka saya berbadan dua kerana perut saya agak besar sedikit. Atas alasan itu juga saya mula bersenam untuk mengempiskan bahagian perut dan bagi menambah stamina," katanya.

Menurut pelakon berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini, selera suaminya ketika ini semakin bertambah.

"Jadi, saya selalu juga memasak untuknya. Kadang-kadang, dia belikan saja makanan dan kami akan makan bersama-sama. Sebagai isteri, mahu atau tidak, saya pun terjebak temankan dirinya makan.

"Apa yang membuatkan saya geram, walau sebanyak mana dia makan pun, badannya tetap kurus. Berat badan saya pula yang semakin naik, terutama pada bahagian perut," katanya sambil memberitahu, hidangan tradisional menjadi pilihan suaminya itu.

Menyentuh mengenai perkembangan kerjaya seninya, akui Bella, Nazim tidak sesekali pernah menyekat minatnya dalam lakonan.

BELLA Dally.- Foto Aziah Azmee

"Saya memang akan terus berlakon, apatah lagi suami juga tidak pernah menghalang. Saya sendiri sudah biasa berdikari sejak datang ke ibu kota. Saya selesa bekerja untuk mendapatkan pendapatan sendiri.

"Saya juga sudah boleh membiasakan diri dengan rutin kerja lakonan selepas berkahwin. Saya tidak berasa apa-apa kejanggalan pun. Sejak bertudung sewaktu sebelum kahwin dulu pun, saya memang sudah mengamalkan prinsip untuk tidak berpegangan dengan bukan muhrim.

"Nazim sendiri tidak mengawal dalam hal ini, malah sentiasa memberikan lampu hijau. Jadi, saya tak bimbang dan akan terus menjaga kepercayaan yang diberi," katanya yang ketika ini sedang menghabiskan penggambaran drama, Sebutir Cinta Rembulan, yang menampilkan Fezrul Khan dan Dayana Roza sebagai teraju utama.

Info

  • Kali terakhir muncul di layar perak adalah menerusi filem Desolasi arahan Syafiq Yusof, Disember tahun lalu.
  • Bakal menyambut ulang tahun pertama perkahwinan dengan Nazim pada 10 September depan.
  • Akan meraikan ulang tahun kelahiran ke-26 pada 27 September.

Berita Harian X