Rabu, 30 Ogos 2017 | 10:54pm
NEELOFA atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor. - Foto Zunnur Al Shafiq

Neelofa tutup cerita peribadi di laman sosial

PELUANG menyertai kem musim panas di bawah program belia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini, membuka mata Neelofa terhadap perlunya dia memberi lebih perhatian kepada diri sendiri.

Selepas sekian lama membiarkan diri 'terdedah' kepada pujian, kritikan dan interpretasi ramai dalam setiap status dikongsi, aktres dan pengacara popular itu merasakan sudah sampai masanya dia menilai semula perlakuan dan tingkah-laku di laman sosial.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 28, percaya dia perlu lebih fokus kepada kehidupan peribadi dan menghargai diri.

"Benarlah, orang selalu kata, banyak berjalan, luas pengalaman... Saya fikir pepatah itu amat tepat.

"Pemergian saya ke AS memberi ruang untuk saya lebih menghargai diri sendiri," katanya kepada BH Plus.

Berpeluang melawat New Jersey dan Washington sepanjang berada di AS, Neelofa tanpa segan mengaku selama ini, dia sering tertanya-tanya, apa sebenarnya yang membuatkan dirinya gembira.

"Siapa dan apa sebenarnya yang boleh membuatkan diri ini gembira dan selesa? Persoalan itu tidak putus-putus menerjah.

"Apakah masyarakat yang menentukan semua ini? Pada satu ketika, saya bagai sedar diri. Disebabkan itulah saya mula kurangkan aktiviti di laman sosial.

"Saya lebih mengutamakan diri sendiri berbanding sesiapapun mulai sekarang," katanya yang mempunyai lima juta pengikut di laman Instagram, diikuti rapat pelakon, Nora Danish dengan rekod pengikut 4.9 juta orang.

Tambah penyandang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29 ini, pendekatannya terhadap laman sosial juga sudah berubah.

NEELOFA dinobatkan Pelakon TV Wanita Popular pada malam kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0. - Foto Mahzir Mat Isa

"Saya tidak seaktif dulu di laman sosial. Apa yang saya muat naik pun datang secara semula jadi, bukan atas apa yang orang luar mahukan. Kalau dulu, hari-harilah ada saja Insta Story yang dikemas kini," katanya.

Akui pemilik empayar perniagaan tudung jenama Naelofar Hijab ini, dia enggan memikirkan tanggapan buruk dan kata-kata nista netizen terhadap dirinya lagi.

"Apa yang saya mahukan sekarang adalah kebahagiaan diri, soal lain saya tolak ke tepi.

"Dulu saya mencari apa yang sangat diinginkan dalam hidup. Namun, tiada maknanya apabila berduit, popular dan hidup dalam limpahan kemewahan jika hati tidak bahagia.

"Saya belajar mengenal diri, apa yang membuatkan saya suka dan bersedih. Hari ini, datang apa saja dugaan, saya tetap gembira dengan hidup saya," katanya optimis.

Berkongsi pengalamannya di AS, Neelofa merasa cukup bertuah dapat mengikuti persidangan yang dihadiri lebih 1,500 belia dari 110 negara di seluruh dunia.

"Ini pengalaman manis dan peluang yang cukup berharga untuk dikenang. Saya dapat bertukar pandangan dan buah fikiran dengan peserta termasuk dalam soal budaya dan jati diri," katanya.

SUDAH sampai masanya Neelofa menilai semula perlakuan dan tingkah-laku di laman sosial. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Neelofa berkata, hasil pendedahan di AS, perspektif diri terhadap keutamaan hidup sudah berubah.

"Selepas ini, semua peserta akan terus berhubung terutama dalam projek yang membabitkan kemanusiaan dan sejagat.

"Saya mendapat kenalan dari ramai negara dan membentuk rangkaian. Malah, kami mula merancang untuk saling berkunjung dan melaksanakan program yang boleh memberi manfaat," katanya.

Malah, kata Neelofa, ada beberapa individu berminat mengundangnya menjadi penceramah selepas melihat pembabitannya dalam kem musim panas itu.

"Salah seorang delegasi berminat mengundang saya menjadi ahli panel untuk kempen belia di bawah program pembangunan PBB.

"Saya akan terbang lagi ke New York pada 14 September depan. Selepas itu, saya pergi ke Milan, Itali untuk projek eksklusif bersama jenama barang kemas antarabangsa, Swarovski, dua hari kemudian," katanya.

Mengenai kegiatan seni, Neelofa sedang sibuk di lokasi penggambaran drama, Red Velvet yang diarahkan Hadith Omar. Drama itu menyaksikan dia berganding buat pertama kalinya dengan artis serba boleh, Alif Satar.

"Sepatutnya drama ini sudah memulakan penggambaran sejak sebulan lalu. Namun, atas beberapa masalah, tarikh penggambaran berubah dan terpaksa dianjak.

"Penggambaran juga dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa kerana saya terikat dengan banyak agenda dan kerja yang perlu dilunaskan.

"Namun, insya-Allah saya akan cuba buat sehabis baik," katanya mengulas mengenai drama yang diadaptasi daripada novel tulisan Acik itu.

Mengenai gandingannya, Alif Satar, Neelofa memberitahu, masih terlalu awal untuk membuat rumusan mengenainya selepas seminggu berada di lokasi.

"Saya tak ada masalah dengan semua pelakon termasuk Aliff. Pada awal penggambaran, saya dengan Aliff ada banyak babak tegang, belum ada adegan romantik lagi.

"Saya memang meminati lakonan Aliff sejak dulu. Malah, ketika saya terikat dengan produksi MeleTOP dan dia pula dengan program Meletop Kebaboom, kami sering berjumpa di studio," katanya.

NEELOFA percaya dia perlu lebih fokus kepada kehidupan peribadi dan menghargai diri. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Info

  • Graduan Izajah Sarjana Muda Perdagangan Antarabangsa dan Pemasaran, Universiti Victoria.
  • Menjadi antara 300 individu tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017 kategori E-Dagangan dan Peruncitan.
  • Dipilih sebagai gadis penghias muka depan majalah Forbes Asia keluaran Mei lalu.
  • Muncul sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29.
  • Menang trofi Pengacara TV Popular ABPBH 3.0 selain dua kategori online iaitu Artis Berpengaruh Laman Sosial dan Gandingan Serasi Drama (bersama Fattah Amin).
  • Sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Red Velvet bergandingan dengan Alif Satar.
Berita Harian X