Sabtu, 2 September 2017 | 9:36pm
AISYA Hasnaa dan Muhammad Yasir melangsungkan pertunangan jam 3.30 petang tadi di kediaman keluarga Aisya di Subang Jaya.

Aisya Hasnaa bertunang, nikah Disember

KUALA LUMPUR: Mulai rapat sejak lima bulan lalu, namun tempoh singkat itu sudah cukup untuk meyakinkan pelakon, penyanyi dan pengacara, Aisya Hasnaa, 27, memilih Muhammad Yasir, 29, sebagai bakal pasangan hidup.

Pasangan yang melangsungkan pertunangan jam 3.30 petang tadi di kediaman keluarga Aisya di Subang Jaya itu merancang untuk melangsungkan pernikahan pada hujung tahun ini. Majlis pertunangan mereka diserikan dengan kehadiran kira-kira 100 tetamu terdiri daripada keluarga dan teman rapat.

Bakal muncul dengan filem 'Kau Takdirku' pada 7 September ini, Aisya berkata, mereka saling mengenali sejak di bangku sekolah tetapi tidak pernah rapat.

"Dulu, dia agak pendiam manakala saya pula terkenal dengan perangai gila-gila. Melihat saya masih sendiri, kakak dan kawan baik cuba menemukan kami berdua. Kami mula rapat sejak beberapa bulan lalu dan tidak sangka, kami mudah serasi.

"Apabila mengenalinya, saya dapati dia seorang yang kelakar. Mungkin kerana perwatakan kami hampir sama, jadi tidak sukar untuk kami menyesuaikan diri.

"Sejak awal perkenalan lagi dia sudah menunjukkan sisi sebenarnya. Apabila semakin selesa dan yakin dia pilihan terbaik untuk membahagiakan saya, kami sepakat bertunang," katanya mengenai jejaka yang bertugas sebagai pakar analisis di sebuah bank.

Aisya berkata, mereka memilih untuk disatukan pada Disember ini tetapi masih belum menetapkan tarikh.

"Saya berharap perancangan kami untuk ke jinjang pelamin akan dipermudahkan. Setakat ini, keluarga masih belum berbincang mengenai tarikh tetapi insya-Allah, akan dilangsungkan pada Disember ini," katanya.

PELAKON, penyanyi dan pengacara, Aisya Hasnaa.

Berita Harian X