Ahad, 3 September 2017 | 8:23pm
ANIS dan Mohd Rafzan bernikah pada 7 Julai lalu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Suami sedar Anis Al Idrus lambat bersiap

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Anis Al Idrus bersyukur suaminya, Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim makin mengerti realiti dunia hiburan termasuk 'permainan' gosip.

Anis menganggap dirinya beruntung kerana Rafzan cepat memahami senario dunia seni yang berdepan dengan tanggapan peminat termasuk polemik dicetuskan netizen.

"Saya bersyukur suami faham malah selalu berpesan supaya saya tidak terlalu ambil peduli.

"Dia tahu semua ini asam garam bergelar artis. Kalau ingat, masa sebelum majlis pernikahan kami Julai lalu pun pihak ada yang cuba menimbulkan isu.

"Namun, saya bersyukur ia berlalu begitu saja," katanya kepada BH Online.

Anis berkata, biarpun bukan dalam kalangan anak seni, suaminya arif dengan 'sepak terajang' dunia hiburan.

"Rafzan ada beritahu, kalau timbul dakwaan atau gosip keterlaluan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak terbabit," katanya.

Bercerita mengenai fasa baharu kehidupannya, Anis mengaku dia dan suami makin mengenali antara satu sama lain.

Anis mula menyedari Rafzan rajin mengemas rumah manakala suaminya pula faham dirinya mengambil masa yang lama untuk bersiap.

"Apabila sudah bergelar suami isteri, kita banyak berkongsi pelbagai perkara. Syukur kami saling menerima dan menyesuaikan diri," katanya.

Anis yang mula dikenali menerusi drama Duda Terlajak Laris itu berkata, dia juga sudah mula memasak untuk suami tercinta.

"Syukur kerana suami tidak cerewet, antara masakan pertama saya ialah murtabak mee segera," katanya.

Berita Harian X