Khamis, 7 September 2017 | 8:52pm
AMY Search memang gemar masak.
AMY Search memang gemar masak.

Air tangan Amy Search 'power' macam vokal

Di pentas, Amy Search cukup energetik. Mengalunkan rangkaian lagu popular dengan imej memukau, mungkin tidak ramai tahu ikon rock ini sebenarnya 'handal' di dapur.

Pernah membuka restoran Cina Muslim, Cheng Ho di Wangsa Maju, beberapa tahun lalu, kecintaan Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman terhadap dunia masakan tidak pernah pudar.

Bagi mereka yang mengenali Amy secara peribadi, kebolehannya menyajikan juadah enak hasil air tangannya sendiri bukanlah sesuatu yang asing.

Dengan beberapa juadah yang menjadi 'trademark' atau 'keistimewaan' dirinya, Amy cukup pemurah berkongsi kemahiran dalam dunia masakan.

Berpeluang berkunjung ke kediaman Amy di Denai Alam, Shah Alam, pada Aidiladha lalu, BH Plus mencungkil kisah dan pengalaman Amy di dapur.

AMY cukup pemurah berkongsi kemahiran dalam dunia masakan. - Foto Shiraz Ali
AMY cukup pemurah berkongsi kemahiran dalam dunia masakan. - Foto Shiraz Ali

Layak digelar cef, isteri Amy, Nourish atau nama sebenarnya, Norish Hassan turut mengaku kehebatan suaminya di dapur.

Akui Amy, sejak zaman bujang lagi dia suka memasak.

"Jika diikutkan, sejak mula-mula berhijrah ke Kuala Lumpur iaitu pada zaman bujang, saya gemar memasak.

"Emak menjadi sifu atau pakar rujuk saya dalam soal memasak. Ingat lagi, kalau teringin nak makan itu ini, saya sanggup pergi ke pondok telefon awam untuk menghubungi emak bertanyakan resepi... Maklumlah, pada zaman itu tiada telefon bimbit.

"Saya masih ingat, percubaan memasak yang pertama apabila berjauhan dengan keluarga adalah menyediakan bihun goreng. Terlupa ramuan, saya sanggup berkejar semula ke pondok telefon awam untuk bertanya emak," katanya.

Amy berkata, ramai orang menganggap, jika masih bujang, lebih baik membeli makanan di kedai.

AMY Search sebenarnya 'handal' di dapur. - Foto Aziah Azmee
AMY Search sebenarnya 'handal' di dapur. - Foto Aziah Azmee

"Saya sebaliknya lebih selesa memasak. Saya rasa makanan yang dimasak di kedai tak 'best' (sedap). Kalau masak sendiri, nikmat kepuasannya hanya kita saja yang tahu atau orang lain yang memuji air tangan kita," katanya.

Berkongsi petua di dapur, penyanyi lagu Fantasia Bulan Madu itu mengaku cukup menjaga sukatan dan teknik memasak, bukannya mengikut konsep 'asal boleh'.

"Saya memasak bukan main campak itu ini saja. Kena betul dan terperinci. Sebab itu, saya sanggup telefon ibu di kampung untuk bertanya sukatan dan ramuan yang betul.

"Hendak masak, biar dapat rasa yang betul-betul umphh. Saya memang sangat menitik berat hal ini. Apa ramuan yang kena kurang dan lebih, semuanya kena jaga.

"Seperkara lagi, saya kena rasa sedap di mulut dulu sebelum orang lain rasa. Kalau sedap di mulut saya, insya-Allah yang dijamu pun sedaplah. Kita nak menjamu orang kena betul-betul, baru rasa berkat," katanya.

Berkongsi pengalaman awal memasak, Amy yang berusia 59 tahun, teringat selepas percubaan pertama mihun goreng, dia cuba menyediakan ayam masak hijau.

AMY tidak ralat meletakkan muzik pada tempat kedua dengan perniagaan menjadi fokus utama. - Foto Nurul Shafina Jemenon
AMY tidak ralat meletakkan muzik pada tempat kedua dengan perniagaan menjadi fokus utama. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Ayam masak hijau ini istimewa sebab saya guna lengkuas dan daun cekur. Pendek kata, memang menu ini rasanya lain daripada kebiasaan yang kita pernah jamah.

"Lemak hijaunya itu memang lain macam selain santan yang biasa digunakan. Lebih menarik kalau kita gunakan ayam kampung," katanya.

Ditanya juadah yang menjadi keistimewaan air tangannya, Amy berkata:

"Saya boleh masak sambal sardin, asam pedas, rendang dan sambal udang," katanya.

Amy juga mahir menyediakan rendang daging campur paru.

"Setiap kali saya sediakan juadah itu, pasti tetamu mengulang makan. Selain itu, sambal udang saya pun dikatakan sangat 'power'. Ini kerana saya letak daun kunyit dan ketika memasak, dijaga sehingga tidak terlalu pekat kuahnya," katanya.

Ditanya apakah dia sedia berkongsi resepi setiap juadah terbabit, Amy berkata;

"Biasalah... Saya rahsiakan," selorohnya.

Sering menyebut belajar memasak daripada ibu, Amy memberitahu, ketika kecil, dia rajin menemani ibu belajar memasak di balai raya di kampung.

"Saya belajar memasak dengan emak sampai handal," katanya mengimbau kenangan lalu.

Amy juga pandai menganyam ketupat malah dianggap juara di kampung halamannya.

"Sejak di bangku sekolah lagi saya pandai anyam ketupat. Dulu mana ada orang jual ketupat yang siap dianyam. Jadi kena anyam sendiri. Memang kalau dekat hari raya, sayalah yang sibuk di dapur membantu emak menganyam ketupat.

"Arwah ayah akan beli daun palas untuk saya anyam. Cuma sejak beberapa tahun ini, saya sudah lama tak menganyam ketupat. Tapi kepakaran itu masih tebal di ingatan. Dulu, saya boleh anyam sehingga 50 biji ketupat," katanya.

Mengenai perkembangan dunia seni, Amy teruja berkongsi projek album khas bersama anggota kumpulan Search yang giat dilakukan. Setakat ini, katanya, tujuh lagu sudah siap.

PENYANYI, Amy Search. - Foto Aziah Azmee
PENYANYI, Amy Search. - Foto Aziah Azmee

"Memang ramai bertanya mengenai 'buah tangan' Search. Bekerja dengan Datuk M Nasir, sekali lagi ia memberi kepuasan maksimum," katanya.

Amy berkata, dia dan teman-teman enggan terburu-buru menyiapkan projek itu.

"Biarlah ia mengambil masa kerana kami mengutamakan perincian.

"Jika diikutkan perancangan, album ini dijangka dipasarkan akhir tahun ini," katanya yang bersyukur Double LP Fenomena Made In USA yang juga format piring hitam album Fenomena, mendapat sambutan ketika dilancarkan, baru-baru ini.

Akui Amy, selepas hampir 35 tahun bergelumang dalam dunia nyanyian, dia tidak ralat meletakkan muzik pada tempat kedua dengan perniagaan menjadi fokus utama.

Langkah itu bukan kerana industri hiburan dilihat kian gawat, sebaliknya ia lebih kepada peningkatan usia.

Malah, Amy menerima kenyataan bahawa zaman kegemilangannya sudah berakhir.

Sehubungan itu, semuanya bakal dirangkumkan dalam autobiografi yang akan dilancarkan, tidak lama lagi.

"Autobiografi itu sudah siap, cuma menanti masa untuk dilancarkan. Apabila ia menemui peminat, bermakna tanggungjawab saya terhadap muzik sudah hampir selesai.

"Saya tidak menafikan, kerjaya ini menjadi impian ramai. Tetapi secara jujurnya, ia tidak mudah seperti yang disangka.

"Selama 35 tahun dalam bidang seni, saya tidak pernah terfikir Search akan bertahan dan menjadi legenda. Semua itu saya kongsi dalam autobiografi itu," katanya.

INFO

  • Digelar legenda rock, Amy Search genap 60 tahun pada 28 Julai tahun depan.
  • Nama penuh Suhaimi Abdul Rahman dan berasal dari Johor Bahru, Johor.
  • Pernah terbabit dalam perniagaan makanan dengan membuka restoran Cina Muslim, Cheng Ho di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
  • Bagaimanapun, restoran itu hanya bertahan selama empat tahun dan terpaksa ditutup pada 2012.

  • Bapa kepada lima cahaya mata dan seorang cucu itu memasarkan pakaian serta songkok jenama General Product By Amy Search.
  • Turut menjual produk Phewiiit! Coffee dan Asam Pedas Segera.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X