Jumaat, 8 September 2017 | 8:16pm
MARSHA Milan Londoh tidak pernah menyalahkan peminat. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
MARSHA Milan Londoh nekad bangkit dan memburu setiap peluang yang terbentang. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
MARSHA Milan Londoh menyifatkan suami adalah penyokong utamanya. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Marsha disangka peminat penyanyi baharu

KUALA LUMPUR: Ekoran popularitinya yang lebih menyerlah dalam bidang lakonan dan pengacaraan, membuatkan bakat nyanyian yang diterokai Marsha Milan Londoh, 31, lebih sedekad lalu hampir terpinggir.

Bakat kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF) musim ketiga itu mengakui, ramai yang terlupa kerjaya seninya bermula dengan nyanyian hingga pernah ditanya peminat, apakah dia juga mahu mencipta nama sebagai penyanyi?

"Saya bukan mahu mereka-reka cerita, tetapi masih ada yang tidak tahu saya bermula sebagai penyanyi. Tidak kurang, ada yang menganggap saya sedang berjinak-jinak dengan bidang baharu sedangkan saya serius menyanyi sejak lebih sedekad lalu," katanya.

Wanita asal Tamparuli, Sabah itu bagaimanapun, tidak pernah menyalahkan peminat. Semua itu bertitik tolak daripada kemahuannya sendiri yang terpaksa menyimpan seketika hasrat meneruskan bidang nyanyian selepas menyedari rezekinya lebih terarah kepada lakonan dan pengacaraan.

BAGI Marsha Milan Londoh, nyanyian adalah kerjaya impiannya. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Semua itu tidak pernah membuatkan Marsha lupa kepada cita-cita asal, malah semangatnya tetap membara untuk menggilap semula bakat nyanyian.

"Selepas tamat AF3, saya mengeluarkan beberapa single termasuk lagu duet. Saya pernah bersaing merebut tempat ke Anugerah Juara Lagu dan beberapa anugerah lain, cuma perjalanan kerjaya nyanyian tidak terlalu lancar," katanya.

Belum mengaku kalah

Enggan mengaku kalah, Marsha nekad bangkit dan memburu setiap peluang yang terbentang untuk meneruskan kembali minatnya.

Sebaik menerima tawaran menyertai AF Megastar yang memulakan persaingannya Ahad lalu, penyanyi lagu Untuk Terakhir Kali ini melihat ia memberi cahaya baharu untuk menggilap semula namanya sebagai penyanyi.

"Saya berbincang dengan pengurus secara terperinci dan melihat penyertaan itu dari setiap sudut. Kami mencapai kata sepakat untuk menyahut cabaran dan membuktikan kemampuan yang sebelum ini tidak berpeluang ditonjolkan.

"Kali ini, saya semakin serius dan bukan lagi Marsha yang tiada hala tuju," katanya.

PELAKON, penyanyi dan pengacara, Marsha Milan Londoh pada malam kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto NSTP/Aziah Azmee

Marsha berkata, nyanyian adalah kerjaya impiannya dan atas prinsip itu, dia nekad memulakan semula langkahnya.

"Saya bersyukur dengan segala pencapaian sebelum ini. Tiada salah untuk saya menguji diri dengan bakat yang ada. Saya sahut cabaran bukan untuk bersaing atau mahu membuktikan kepada sesiapa.

"Saya lakukannya demi kepuasan dan bakat. Saya tidak mahu sia-siakan atau bertangguh lagi," katanya.

Suami penyokong utama

Pernah meraih pujian ketika beraksi dalam filem Jwanita, Marsha berkata, percubaan keduanya ini digerakkan dengan perancangan lebih rapi.

Lebih manis, Marsha mendapat sokongan paling kuat daripada suaminya, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail yang menjadi pendorong utama untuk dia meneruskan langkah.

Dalam nada sebak, Marsha berkata, dia terharu apabila suaminya memberi keizinan untuk dia meneruskan perjuangannya.

"Suami percaya dengan bakat yang saya ada, malah menyokong penuh apabila saya menyatakan hasrat mahu kembali bersaing. Dia juga sering menitipkan pelbagai kata nasihat yang membuatkan saya kuat untuk bangkit semula," katanya.

INFO: Marsha Milan Londoh

  • Marsha mula dikenali dalam bidang seni ketika menyertai Akademi Fantasi musim ketiga.
  • Mendirikan rumah tangga pada April 2016.
  • Pernah menyanyikan lagu tema filem Disney, Frozen yang dialih bahasa berjudul Bebaskan.
  • Pernah berlakon dalam filem Cun, Jwanita, Magika dan Pak Pong.
  • Menjadi pengacara untuk rancangan Mentor Milenia.
Berita Harian X