Sabtu, 9 September 2017 | 8:51pm
PASANGAN pelakon, Amyra Rosli dan Amar Bahrin. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PASANGAN pelakon, Amyra Rosli dan Amar Bahrin. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Amyra, Amar bakal timang anak lelaki

hid_mohd.com.my

KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon, Amyra Rosli, 26, dan Amar Bahrin, 32, bakal menimang cahaya mata lelaki yang dijangka lahir bulan depan.

Teruja menanti kehadiran insan baharu sebagai penyeri rumah tangga yang dibina sejak 10 bulan lalu, Amyra berharap Amar akan berada di sisinya ketika melalui detik bermakna itu.

Ketika ini, kandungan Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli sudah mencecah 33 minggu.

"Melihat bentuk perut saya, ramai meneka kami akan dikurniakan anak lelaki. Sehari sebelum berjumpa doktor untuk pengesahan, saya juga bermimpi kami mendapat zuriat lelaki. Alhamdulillah, ramalan ramai itu menjadi kenyataan.

"Sejak hamil, saya dan Amar tidak kisah mengenai jantina anak kerana yang penting, bayi yang bakal dilahirkan itu sihat serta sempurna," katanya.

Ditemui pada majlis 'baby shower' petang tadi, pelakon drama Isteri Tuan Ehsan ini berkata, suaminya begitu teruja menjadi bapa, malah melakukan pelbagai persediaan untuk menyambut kelahiran bayi sulung mereka.

"Amar cukup suka membeli barangan keperluan bayi sehingga saya terpaksa mengawal perbelanjaannya," katanya.

Sementara itu, Amar yang pernah bergandingan dengan Amyra dalam drama Cik Bunga Encik Sombong berkata, dia teringin merasai pengalaman menyambut kelahiran bayi.

"Saya berharap proses kelahiran bayi kami nanti akan berjalan lancar, malah saya ingin merasai pengalaman bersama Amyra ketika menanti detik bersejarah dalam hidup kami itu," katanya.

Pasangan itu akan berkongsi detik dan pengalaman sebelum serta selepas menerima cahaya mata menerusi program Babypedia siaran Astro.

Berita Harian X