Sabtu, 9 September 2017 | 9:42pm
WANY tidak mahu cerita peribadi membayangi perjalanan kerjaya seninya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
WANY sentiasa mengingatkan diri supaya tidak leka diulit populariti hingga lupa kepada cita-cita asalnya untuk menjadi pensyarah. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Rakan duet bukan kekasih saya - Wany Hasrita

KUALA LUMPUR: Lumrah dalam kehidupan selebriti apabila sering dilingkari gosip sebagai rencah dan asam garam yang terpaksa ditelan, penyanyi Wany Hasrita bagaimanapun, mempunyai pandangan sebaliknya.

Sering dikaitkan menjalin cinta dengan penyanyi baharu, Tajul Arif terutama selepas lagu duet mereka, Di Sana Cinta Di Sini Rindu mendapat perhatian peminat, Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 25, kurang selesa untuk berbicara mengenai perkara itu.

Wany sedapat mungkin tidak mahu cerita peribadi membayangi perjalanan kerjaya seninya, malah ia juga dilakukan demi menjaga nama baik keluarga selain ingin mengekalkan imej bersih di mata peminat.

"Sebagai penyanyi yang membawa imej bertudung, saya anggap gosip percintaan dengan Tajul tidak manis jika terlalu digembar-gemburkan. Disebabkan tidak mahu gosip itu terus diperkatakan, saya cuba untuk tidak terlalu kerap memuat naik foto kami berdua di media sosial.

"Saya tidak nafikan kami selalu berjumpa, tetapi semua itu atas urusan kerja kerana kami membuat persembahan bersama. Jika tiada urusan, saya cuba jarakkan diri kerana tidak mahu berterusan dikaitkan dengan Tajul," katanya.

Wany yang sedang mempromosikan single terbaru, Rintihan Rindu mengakui, sebagai gadis yang sedang mengenal erti hidup, dia juga mempunyai keinginan untuk dicintai dan menyintai. Sesekali hatinya juga goyah diuji, namun menyedari tanggungjawab terhadap keluarga, perasaan itu terpaksa diketepikan.

PENYANYI Wany Hasrita atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah. - Foto Aziah Azmee

"Memikirkan perasaan ibu dan tanggungjawab terhadap keluarga, saya lupakan dulu keinginan untuk bercinta. Syarikat rakaman juga memberikan nasihat supaya saya terlebih dulu memberi fokus kepada kerjaya yang baru bermula.

"Disebabkan itu, saya kurang selesa dikaitkan dengan Tajul kerana bimbang gosip itu akan membayangi langkah saya. Lagipun di luar sana, ramai remaja yang melihat saya sebagai contoh membuatkan saya harus bijak menjaga diri.

"Sebagai selebriti, langkah saya sentiasa dipandang masyarakat dan saya tidak mahu kerana perkara remeh seperti itu, nama baik saya dan keluarga terjejas. Saya ada peranan terhadap masyarakat dan saya perlu memikul amanah itu dengan baik," katanya.

Mahu jadi pensyarah

Ketika nama sedang meniti di bibir peminat, Wany juga sentiasa mengingatkan diri supaya tidak leka diulit populariti hingga lupa kepada cita-cita asalnya untuk menjadi pensyarah. Wany akur, populariti yang diraihnya ketika ini bukan jaminan untuk terus bertahan membuatkan dia enggan mensia-siakan usia muda demi masa depannya.

Lulusan ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dari Management & Science University (MSU), Shah Alam ini berhasrat untuk menyambung semula pengajiannya pada peringkat sarjana selepas segala komitmen terhadap kerjaya seni selesai, tahun depan.

WANY anggap gosip percintaan dengan Tajul tidak manis jika terlalu digembar-gemburkan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Saya terpaksa tangguhkan dulu hasrat untuk menyambung pengajian kerana ingin memberi fokus kepada dunia nyanyian. Tetapi, saya tidak pernah mengetepikan keinginan untuk mencari ilmu demi masa depan yang lebih terjamin.

"Menjadi pensyarah adalah cita-cita dan saya akan berusaha untuk mencapainya. Cuma ketika ini, saya perlu memberi fokus kepada dunia nyanyian memandangkan banyak tawaran yang menanti. Insya-Allah tahun depan, saya akan kembali ke kelas," katanya.

Peluang kukuhkan nama

Anak kelahiran Cheras, Kuala Lumpur yang bernaung di bawah label Fantasia Music City (FMC) itu berkata, sebagai penyanyi, masih banyak yang ingin dicapainya. Ketika graf namanya sedang melonjak, Wany yang popular dengan lagu Menahan Rindu cuba memanfaatkan peluang itu untuk mengukuhkan kedudukan.

"Saya bersyukur dengan apa yang sudah dicapai, malah jika diimbas, semua itu saya genggam berkat kesabaran hasil berusaha keras selama ini. Bukan mudah untuk memahat nama dalam industri, terutama bagi bakat baharu.

"Di luar sana, masih ramai yang menanti peluang untuk berada di tempat saya berdiri sekarang dan ada di antara mereka yang terpaksa menunggu lebih lama. Saya hargai peluang yang diberikan dan berjanji untuk terus konsisten mempertahankan nama.

"Menyanyi adalah mata pencarian utama, malah dengan rezeki ini saya menanggung ibu. Selagi diberikan kudrat, saya akan melakukan yang terbaik untuk membahagiakan ibu," katanya.

WANY kini sedang mempromosikan single terbaru, Rintihan Rindu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Wany berkata, nasihat dan pesanan ibu supaya sentiasa menjaga nama baik keluarga menjadi azimatnya setiap kali melangkah keluar. Apabila rezeki berpihak kepadanya selepas Menahan Rindu diterima baik peminat, Wany tidak membiarkan diri dihanyut keseronokan.

"Saya bersyukur ibu sentiasa ada di sisi dan menjadi mata kepada setiap langkah saya. Sokongannya membuatkan saya tidak mengambil ringan hal berkaitan kerjaya kerana perjalanan saya masih jauh. Saya mahu berjaya seperti Neelofa dan Vivy Yusof yang meraih pencapaian atas usaha sendiri," katanya.

INFO

  • Mula melonjak popular selepas menyanyikan semula lagu nyanyian Siti Nordiana dan Achik Spin, Memori Berkasih.Wany juga pernah berduet dengan penyanyi Korea Selatan, Kim Dong Gyun dalam versi dwibahasa lagu itu.
  • Menahan Rindu ciptaan Ibnu dan Gouffran menjadi permulaan Wany bertapak dalam industri muzik. Single itu mencatat lebih tiga juta tontonan selepas sebulan dilancarkan di YouTube.
  • Selepas Menahan Rindu, Wany tampil dengan single duet bersama Tajul Arif, Di Sana Cinta Di Sini Rindu.
  • Pernah tersenarai sebagai finalis Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH3.0) bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular.
Berita Harian X