Ahad, 10 September 2017 | 7:32pm
ERWIN Dawson. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Erwin Dawson tunggu tuah

KUALA LUMPUR: Tiga tahun mencari rezeki di Malaysia, pelakon berasal dari Singapura, Erwin Dawson sedar namanya belum meninggalkan kesan seperti rakan senegara yang lain.

Jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Aaron Aziz, Adi Putra, Shah Iskandar, Erwin yang bakal muncul dalam filem Bisik Pada Langit, mahu terus berfikiran positif.

"Saya tak kecewa. Saya percaya Tuhan ada perancangan yang baik untuk diri ini. Saya sudah berusaha sedaya mampu. Saya tak boleh cepat mengalah.

"Saya hanya perlu terus positif jika mahu berjaya," katanya yang mula terjun ke dunia seni kira-kira tujuh tahun lalu.

Namun, akui Erwin, biarpun agak 'tenggelam', dia berpuas hati kerana sudah berlakon empat filem biarpun hanya satu judul sudah ditayangkan.

"Saya teruja dengan peluang diberi pengarah dan produksi. Kesempatan berlakon untuk filem Bisik Pada Langit arahan Kabir Bhatia juga amat dihargai. Saya lihat, Kabir sangat cekap mengarah.

"Saya bersyukur dapat beraksi dengan pelakon hebat seperti Jalil Hamid, Beto Kusyairy dan Ummi Nazeera," katanya yang mengaku masih banyak kelemahan perlu diperbaiki untuk menjadi pelakon mantap.

Tiga filem lakonan Erwin menanti tayangan, iaitu Bisik Pada Langit mulai 21 September depan, diikuti Dubai My Love dan Pulang. Sebuah lagi filem lakonan Erwin, iaitu Warna Cinta Impian sudah ditayangkan.

Berita Harian X