Selasa, 12 September 2017 | 10:42pm

Peminat taja konsert Khai Bahar di Hong Kong

TROFI Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular yang dimenanginya pada Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 3.0 Mei lalu, tidak akan menjadi miliknya tanpa sebab kukuh.

Populariti dan pesona dimiliki jejaka dikenali sebagai Khai Bahar ini bukan saja menyerlah sejak terjun ke bidang nyanyian arus perdana. Malah, Khai lebih dulu dikenali di laman sosial melalui aplikasi Smule.

Lebih membanggakan, nama Khai bukan saja menjadi sebutan peminat di Malaysia, malah popularitinya melangkau ke luar negara. Bukan bercakap kosong, tetapi itulah hakikatnya apabila Khai dikenali di negara serantau terutama Indonesia.

Bagi membuktikan kenyataan itu, jika tiada aral melintang, pada 15 Oktober depan, Khai akan mengadakan konsert buat julung kalinya di Hong Kong. Apa yang mengejutkan, konsert itu ditaja sepenuhnya peminat Indonesia yang menetap di kotaraya itu.

"Memang terharu apabila mendapat tahu mereka yang menggelarkan diri sebagai KBFC Hong Kong sanggup mengeluarkan wang untuk membawa saya ke Hong Kong mengadakan persembahan.

POPULARITI Khai Bahar kini sudah melangkau ke negara serantau terutama Indonesia. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
POPULARITI Khai Bahar kini sudah melangkau ke negara serantau terutama Indonesia. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya dimaklumkan mereka mula mengumpul wang pada hari pertama saya berjinak dengan aktiviti Smule.

"Konsert itu akan diadakan di sebuah stadium di Hong Kong pada 15 Oktober depan. Sehari sebelum itu, saya akan berada di Singapura untuk menghadiri acara Anugerah Planet Muzik 2017.

"Sangat teruja menghadiri kedua-dua acara ini," katanya kepada BH Plus.

Mengenai konsep persembahan untuk konsert solonya itu, jejaka berusia 23 tahun ini memberitahu, apa yang akan disajikan adalah berdasarkan permintaan peminat.

"Daripada jumlah lagu yang bakal dinyanyikan serta senarai dendangan, semuanya ditentukan peminat.

"Mereka yang akan pilih lagu untuk saya. Buat masa ini, saya masih belum menerima maklumat daripada mereka... Kenalah tunggu," katanya.

PERSEMBAHAN Rabbani dan Khai Bahar (tengah) pada Showcase Amal Eksklusif bersama Rabbani dan Khai Bahar. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
PERSEMBAHAN Rabbani dan Khai Bahar (tengah) pada Showcase Amal Eksklusif bersama Rabbani dan Khai Bahar. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

KHAI Bahar lebih dulu dikenali di laman sosial melalui aplikasi Smule.
KHAI Bahar lebih dulu dikenali di laman sosial melalui aplikasi Smule.

Tambah Khai, dia cukup bertuah kerana mendapat peminat yang setia menyokong kerjaya seninya seperti yang ditunjukkan KBFC Hong Kong.

"Malah ketika ulang tahun kelahiran saya, mereka turut meraikannya di sana biarpun saya tiada di sisi," katanya.

Selain mengadakan konsert di Hong Kong, Khai atau nama sebenarnya, Muhamad Khairul Baharudin sudah bersedia untuk melebarkan sayapnya ke negara seberang.

Khai berkata, selepas sekian lama tertangguh, dia akan mengadakan siri promosi di Jakarta, akhir bulan ini.

"Sepatutnya, saya pergi ke Jakarta, awal bulan ini. Namun, disebabkan jadual yang padat, saya hanya boleh pergi akhir bulan.

"Ramai peminat asyik bertanya bila saya akan ke Jakarta. Jadi saya tak mahu bertangguh lagi," katanya.

Khai berkata, pelbagai aktiviti sudah diatur syarikat rakaman antaranya membuat persembahan untuk stesen televisyen (TV) di negara itu.

"Saya akan menyanyikan dua lagu sendiri dan sebuah lagu penyanyi lain," katanya ketika ditemui pada majlis Showcase Amal Ekslusif Rabbani dan Khai Bahar di ibu negara, baru-baru ini.

KHAI Bahar menghiburkan pengunjung pada program Jelajah Kampus Rakan Muda di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KHAI Bahar menghiburkan pengunjung pada program Jelajah Kampus Rakan Muda di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Persembahan itu dianjurkan bagi mencari dana untuk diserahkan kepada rakyat Syria yang menjadi pelarian di Istanbul.

Khai dan Ustaz Azadan yang mewakili kumpulan Rabbani, diiringi wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Syria Care akan menyertai Kembara Jiwa dan Kemanusiaan Syria Care 2017 ke Istanbul pada 31 Oktober depan.

Program itu dilancarkan bagi membantu rakyat Syria yang menjadi mangsa bencana kemanusiaan terutama kanak-kanak.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Khai berkata, selain menyertai misi kemanusiaan, dia mengambil kesempatan untuk menunaikan ibadat umrah bersama ibu bapa.

"Pada mulanya, saya merancang mengerjakan umrah, tahun depan. Bagaimanapun apabila pihak Syria Care mengundang saya untuk bersama dalam aktiviti ini termasuk mengerjakan umrah, saya menerima dengan hati terbuka.

"Memang tak sangka dapat tawaran begini kerana saya baru setahun jadi penyanyi. Kebetulan pula, saya ada rezeki lebih, jadi saya bawalah ibu bapa bersama. Seronok melihat mereka gembira dan moga urusan kami dipermudahkan," katanya.

Beralih kepada perkembangan kerjaya seni, anak jati Perlis ini berkongsi berita gembira apabila single terbarunya, Luluh mendapat jumlah tontonan melebihi tiga juta di YouTube sejak sebulan lalu.

Baginya, ini suatu perkembangan yang baik kerana lagunya sebelum ini sering dibayangi single pertama, Bayang.

"Alhamdulillah, lagu ini melebihi sasaran yang dijangka. Saya bukannya mengharapkan lagu ini bersaing dengan lagu lama. Asalkan ia boleh pergi jauh, itu sudah memadai buat saya," katanya.

Diusik pertanyaan apakah dia menggunakan kaedah 'membeli' jumlah tontonan semata-mata untuk menunjukkan lagunya cukup popular di laman sosial, Khai memberitahu, dia lebih suka bersikap jujur dalam berkarya.

KHAI Bahar akan mengadakan konsert di Hong Kong bulan depan. Lebih mengejutkan ialah konsert itu ditaja oleh peminat Indonesia . - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
KHAI Bahar akan mengadakan konsert di Hong Kong bulan depan. Lebih mengejutkan ialah konsert itu ditaja oleh peminat Indonesia . - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

"Boleh ke nak buat begitu? Apapun, saya tak akan sesekali menipu semata-mata untuk tunjukkan lagu saya popular.

"Walaupun peminat saya tidak ramai, tapi saya yakin mereka akan membantu saya dengan menonton video dan mendengar lagu saya. Tak payah sampai tahap nak 'beli' jumlah tontonan," katanya.

Info
Nama penuh : Muhammad Khairul Baharudin
Nama komersial : Khai Bahar
Umur : 23 tahun
Asal: Kangar, Perlis
Kerjaya : Penyanyi
Pencapaian : Anugerah Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular ABPBH 3.0 dan Artis Baharu Meletop 2017.

Berita Harian X