Khamis, 14 September 2017 | 6:28pm
RIZALMAN (tengah) bergambar kenangan bersama pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam satu majlis baru-baru ini.

Rizalman anggap mangsa sebagai anak angkat

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim menganggap sebahagian daripada mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, sebagai anak angkat.

Melalui coretan pada laman Instagram, Rizalman berkongsi pengalaman berkenalan dengan pelajar pusat tahfiz yang bersahabat dengan anaknya, Umar Nail.

"Saya merasa amat terkesan akibat kejadian ini kerana ada antara mereka (mangsa) menjadi sahabat Umar, saya sendiri dan sudahpun bergelar 'anak-anak angkat' saya selama ini.

"Ini kerana mereka sudi memenuhi undangan saya baik di rumah atau di pejabat ketika meraikan apa-apa majlis termasuklah sambutan hari jadi saya, tahun lalu.

"Kekayaan doa mereka yang disampaikan kepada Allah, pada saya dan keluarga cukup besar maknanya.

"Ketulusan dan kesucian hati mereka, wajah-wajah suci mereka, pengorbanan zaman remaja menuntut ilmu Allah melalui al-Quran dan perasaan hormat mereka ketika mencium tangan setiap kali berjumpa dan berpisah, bagai terasa dingin syurgaNya," katanya.

Rizalman turut memberi penghormatan kepada ustaz yang terbabit dalam malapetaka itu melalui status yang disertakan dengan gambar dirinya bersama kumpulan pelajar berkenaan.

"Kepada ustaz @yusufdqi yang berkorban menjaga kebajikan anak ini hingga ke akhir hayatnya, saya hanya mampu berdoa.

"Kepada ibu bapa anak ini, Allah memilih anda sebagai tetamunya di syurga bermula dari sekarang. Anda semua yang terpilih mempunyai jiwa yang kental untuk melalui dugaan ini," katanya.

Rizalman turut mengenang ucapan pada malam sambutan hari lahirnya bersama pelajar tahfiz terbabit.

"Keindahan malam itu dengan rangkaian tetamu yang hadir berpakaian serba putih sebegini seolah-olah seperti kita semua berada di dalam syurga Allah dan begitulah kehendaknya jika diizinkan," luahnya.

Sementara itu, artis turut bersedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terbabit melalui media sosial.

Penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza menulis:

"Alfatihah, takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa yang terkorban," kataya.

Pelakon Fattah Amin yang terkejut dengan tragedi itu berdoa agar mangsa terkorban ditempatkan dalam kalangan yang beriman.

"Kita dikejutkan dengan berita sedih pagi ini. Lebih 20 nyawa terkorban dalam kebakaran di sebuah pusat tahfiz di Jalan Keramat.

"Ya Allah, kau tempatkanlah anak anak syurga ini di kalangan orang yang beriman. Damaikanlah mereka di sana Ya Allah.... Amin," katanya.

Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi pula berpesan supaya masyarakat tidak sewenang-wenangnya berkongsi video atau gambar menyayat hati yang boleh menyentuh sensitiviti keluarga mangsa.

"Perasan dan hati keluarga mangsa harus difikirkan. Cuba bayangkan jika kita di tempat mereka," katanya.

Artis lain yang berkongsi kedukaan termasuk Erra Fazira, Amy Search, Norman Hakim, Fasha Sandha, Nora Danish dan Aiman Tino.

11935 dibaca
Berita Harian X