Jumaat, 15 September 2017 | 11:47pm
FOKUS Hafiz kini hanya terarah kepada perancangan masa depan diri dan kerjaya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
FOKUS Hafiz kini hanya terarah kepada perancangan masa depan diri dan kerjaya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
HAFIZ dan isteri, Nureffy Jasreel Abdullah. - Foto Rohanis Shukri
HAFIZ dan isteri, Nureffy Jasreel Abdullah. - Foto Rohanis Shukri

Hafiz kikis sifat panas baran demi anak

KUALA LUMPUR: Membawa status suami dan bakal bergelar bapa awal tahun depan apabila isterinya kini hamil lima bulan mematangkan penyanyi, Hafiz Suip, 27, dalam melayari kehidupan.

Andai dulu, fokusnya hanya berlegar kepada perkembangan diri dan kerjaya, namun perkahwinan dengan Nureffy Jasreel Abdullah pada Mei tahun lalu membentuknya supaya lebih peka kepada persekitaran.

Hafiz berkata, banyak perubahan ketara berlaku dalam dirinya sejak isterinya hamil. Andai dulu, Hafiz begitu cepat melatah dan marah jika ada sesuatu tidak kena berlaku, tetapi sifat panas baran itu perlahan-lahan cuba dikawalnya.

"Dulu, jika ada yang tidak kena, saya mudah naik angin. Perkara kecil juga boleh mengundang kemarahan jika tidak ditangani dengan matang. Sejak isteri hamil, saya belajar tenangkan diri. Saya mula mengawal diri dan mengikis sifat negatif itu.

"Saya tidak mahu perangai buruk saya itu memberi kesan negatif kepada anak. Alhamdulillah, menjadi suami dan bakal bapa membantu saya supaya lebih matang dalam menangani diri serta dugaan yang menguji," katanya.

Bakal dikurniakan anak lelaki, Hafiz berkata, dia dan isterinya sudah mempunyai nama untuk bayi mereka itu. Hafiz dan isteri sepakat memilih nama Mohamad Riyadh yang membawa maksud taman bunga yang makmur.

PENYANYI, Hafiz Suip. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PENYANYI, Hafiz Suip. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Lengkapi diri dengan ilmu

Lebih lapan tahun menceburkan diri dalam bidang seni, Hafiz yang baru muncul dengan single, Kejar berkata, peralihan usia juga menjadi pendorong supaya dia mempertingkatkan ilmu pengetahuan, sekali gus memperlihatkan kematangan dan kewibawaannya sebagai insan seni.

Akui penyanyi yang popular dengan lagu Masih Jelas itu, dulu dia agak 'sombong' dan tidak pernah ambil peduli isu semasa. Ketika itu, fokusnya hanya terarah kepada perancangan masa depan diri dan kerjaya hingga tidak mengendahkan kehadiran bakat baharu.

"Bagi saya, semua itu tidak penting asalkan kehadiran saya masih diterima. Apabila ditawarkan peluang menjadi pengacara program 56 episod, Unplugged Ria di Astro Ria, saya terpanggil untuk memperbaiki diri.

"Program itu membuka mata saya supaya melihat kerjaya seni dari sudut yang lebih luas. Saya mula menitikberatkan kemahiran komunikasi, selain melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutama berkaitan isu semasa supaya kelihatan bersedia dan matang di depan kamera," katanya.

HAFIZ sudah lebih lapan tahun menceburkan diri dalam bidang seni. - Foto Khairul Azhar Ahmad
HAFIZ sudah lebih lapan tahun menceburkan diri dalam bidang seni. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Minda lebih terbuka

Sejak itu, kata Hafiz, dia mula memperuntukkan masa untuk membaca akhbar dan mengambil tahu perkembangan semasa di dalam dan luar negara. Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu juga berusaha memperbaiki cara berkomunikasi supaya tampil meyakinkan di depan khalayak.

"Menjadi pengacara memerlukan saya lebih spontan dalam melontarkan idea dan pandangan. Jika diri tidak dilengkapi ilmu, sukar untuk saya menggalas tanggungjawab itu. Saya tidak mahu disebabkan terlalu mempertahankan ego diri, saya terpinga-pinga setiap kali sesuatu topik serius dibangkitkan.

"Banyak yang saya pelajari menerusi Unplugged Ria, terutama berkaitan perkembangan industri hiburan semasa. Minda saya lebih terbuka, membuatkan saya semakin tercabar dan berani untuk mencuba kerana enggan terpaku pada takuk yang sama," katanya.

Mengendalikan program itu bersama Elly Ariffin, Hafiz berkata, Unplugged Ria juga mengajarnya supaya mementingkan disiplin diri dan menepati masa. Hafiz juga tidak lagi mengambil ringan soal masa, terutama apabila membabitkan banyak pihak kerana bimbang kecuaian diri akan mengganggu kelancaran program.

HAFIZ kini lebih matang dalam menangani diri dan dugaan yang menguji. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
HAFIZ kini lebih matang dalam menangani diri dan dugaan yang menguji. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

INFO:

Nama: Mohd Hafiz Mohd Suip

Usia : 27 tahun

Asal : Sarawak Kuching,

  • Mula menceburkan diri dalam dunia seni apabila menyertai program Akademi Fantasia pada 2009.
  • Mempunyai tiga album studio iaitu Masih Jelas (2009), Hafiz (2012) dan Luahan Hati Anak Seni (2013).
  • Berkahwin dengan Nureffy Jasreel Abdullah, 23, pada Mei tahun lalu.
  • Lagu Popular: Masih Jelas (2009), Noktah Cinta (2010), Ombak Rindu (duet bersama Adira), Matahari (2014), Terimaku Seandainya (duet bersama Misha Omar) dan terbaru, Aku Negaraku (duet bersama Jaclyn Victor)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X