Ahad, 24 September 2017 | 3:17pm
PELAKON, Namron menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem Redha pada Anugerah Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) di Pusat Dagangan Dunia Putra . - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sedar wajah tak 'jambu'

KUALA LUMPUR: 'Saya tidak kacak dan bukan berwajah 'jambu'... Saya hanya ada bakat sebagai modal.'

Begitulah pengakuan bintang filem Redha, Namron yang menyifatkan kejayaannya merangkul trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-29, malam tadi adalah bersandarkan kerja keras dalam meneruskan survival seni.

Akui Namron, dia berjuang dengan bakat untuk memancing pengarah dan penerbit memberinya tawaran berlakon.

"Saya hanya ada bakat lakonan sebagai modal dan saya perlu bagus. Syukur ada penerbit dan pengarah yang masih sudi melihat saya dan percaya dengan kemampuan yang saya miliki," katanya kepada BH Online.

Namron yang menunjukkan lakonan cemerlang dalam filem Redha, menewaskan empat pencabar lain. Tambah manis, isterinya, June Lojong yang turut membintangi Rehda, diumumkan sebagai Pelakon Harapan Wanita pada malam bersejarah itu.

Namron berkata, penerbit tidak wajar mengambil jalan pintas dengan hanya melihat pelakon yang mempunyai pengikut ramai di media sosial atau berwajah komersial ditawarkan watak utama.

"Saya yakin kalau ada naskhah dan pasukan yang bagus, wajah tidak komersial juga boleh membuatkan filem jadi komersial.

"Harapan saya satu hari nanti semua filem diterima secara baik tanpa menilai terlalu banyak soal nilai komersial. Semua filem ada nilai berkenaan cuma kita sedar atau tidak," katanya.

Namron akur disebabkan faktor wajah, dia tidak menerima tawaran untuk melakonkan filem bernilai komersial. Sebaliknya, dia hanya ditawarkan naskhah berat serta serius.

Jika diberi peluang, Namron tidak menolak biarpun menyedari perkara itu mustahil.

"Sebagai pelakon, saya menerima dan bersedia dengan setiap cabaran andai diberi kepercayaan," katanya.

Berita Harian X