Rabu, 27 September 2017 | 6:45pm
FARID Kamil hadir pada majlis tayangan filem terkini lakonannya, Tombiruo. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Farid sudah jangka kemenangan isteri

PETALING JAYA: Pelakon, Farid Kamil, sudah dapat menjangkakan isterinya, Diana Danielle, 26, mampu membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) hasil lakonannya dalam filem Hanyut.

Menurut Farid yang turut bergelar pengarah itu, lakonan Diana, dalam naskhah arahan U-Wei Saari itu sememangnya menampakkan kematangan.

Tidak dapat menghadiri festival berkenaan pada hujung minggu lalu kerana terikat dengan kerja penggambaran, Farid, 36, mengaku beliau melompat kegembiraan sebaik saja dimaklumkan oleh anggota keluarga mengenai kejayaan isterinya itu.

"Apabila saya mendapat tahu dirinya menang, saya melompat gembira kerana saya sendiri sudah menjangkakan kemenangannya kali ini.


FARID Kamil dan Diana Danielle. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Selepas menonton filem berkenaan di Jakarta, saya dapat lihat lakonannya sangat berbeza dan dia mampu menampilkan sesuatu yang baharu ketika beraksi. Saya suka wataknya dalam Hanyut kerana ia menyerlahkan kematangan dirinya sebagai pelakon," katanya.

Mendoakan Diana terus memberikan yang terbaik dalam kerjaya, Farid yang ditemui pada majlis tayangan filem terkini lakonannya, Tombiruo, berkata aktres terbabit jelas menunjukkan peningkatan dalam persembahan selepas lebih sedekad menjadi anak seni.

"Sebagai suami, saya sentiasa mahukan yang terbaik untuk dirinya. Saya juga selalu mendoakan kejayaan selain menyokong apa saja yang dilakukan oleh isteri demi kelangsungan bakat seninya itu," katanya.

Pada malam penganugerahan itu, Diana tidak dapat menerima sendiri anugerah berkenaan kerana terbabit dalam penggambaran bersama sebuah saluran televisyen antarabangsa.

Trofi itu diterima oleh anak sulung pasangan berkenaan, Muhammad, 4, yang ditemani neneknya, Norsiah Ramli.

23745 dibaca
Berita Harian X