Ahad, 1 Oktober 2017 | 6:58pm
EMELDA yang kini memiliki jenama fesyen sendiri.

Emelda Rosmila tak pandai 'jual diri'

BERGELAR anak seni sejak 17 tahun lalu, pelakon Emelda Rosmila, masih teguh berpegang kepada prinsip diri.

Isteri kepada bintang Puteri Gunung Ledang, Adlin Aman Ramlie, ini enggan terjebak dalam permainan industri hingga sanggup 'menjual' diri demi meraih populariti.

"Saya mengaku tidak pandai mencipta kontroversi mahupun publisiti murahan untuk popular di hati peminat atau mendapatkan perhatian produser.

"Saya memang tak pandai buat-buat atau cuba mencipta kontroversi. Saya hanya mengikut kata hati dan apa yang selesa dengan diri ini.

"Saya juga sedar industri seni zaman sekarang, semuanya kena popular termasuk ada pengikut ramai di laman sosial, baru ada tawaran berlakon. Soal bakat itu, dibiarkan ketepi dulu," katanya kepada BH Plus.

Biarpun akur perlu terus relevan dengan kehendak peminat dan industri seni, Emelda enggan hanyut dalam persepsi dangkal sebaliknya yakin bakat mengatasi segala-galanya.

Malah, Emelda menepis dakwaan perkahwinannya dengan Adlin pada 2009 dianggap suatu keputusan 'menguburkan' sendiri karier lakonan.

Bertemu wanita berusia 37 tahun ini, Emelda yang kini memiliki jenama fesyen sendiri, meluahkan apa yang terbuku dalam hati.

"Dulu memang ada pihak yang skeptikal kononnya status perkahwinan penamat kerjaya seni. Bunyinya seperti kalau kahwin, saham akan jatuh... Itu selalu kedengaran.

EMELDA Rosmila bersama suaminya Adlin Aman Ramli.

"Saya ini boleh dikatakan antara artis yang berdepan zaman dengan senario seumpama itu. Kahwin itu bererti, berakhirlah 'riwayat' artis itu di persada seni," katanya kepada BH Plus.

Namun, akui Emelda, peminat hari ini dapat menerima pelakon biarpun sudah berkahwin.

"Namun, bagi industri, saya dapat rasakan jurang itu. Bayangkan, kalau sebelum kahwin, tawaran berlakon bertimpa-timpa.

"Malah, dulu saya pernah buat dua tiga kerja lakon serentak. Sekarang, dengan keadaan semasa, saya reda dan menerima apa saja ketentuan rezeki.

"Jadi saya salurkan minat kepada bidang lain termasuk dunia fesyen. Jadi apabila ada peluang berlakon sesekali, dapatlah melepas rindu yang menebal," katanya yang juga adik ipar kepada Datuk AC Mizal.

Berbicara soal kecintaan terhadap bidang seni, Emelda berkata selain faktor wang, dunia lakonan cukup diminati sejak zaman remaja.

"Setiap tawaran berlakon yang saya terima akan dilaksanakan sebaik mungkin. Dulu saya lihat lakonan sama saja dengan kerja lain. Tapi sebenarnya tidak...lakonan lebih daripada itu.

"Untuk terus kekal dan kukuh di persada lakonan, memang kena ada strategi untuk jadi relevan. Tak kira apa strategi yang dirancang, cukuplah agar dapat menjadikan anda terus diingati.

"Namun saya memilih untuk tidak terkejar-kejar nak jadi popular tanpa bersandarkan bakat. Saya realistik dalam hal ini, tapi pilihan saya untuk terus menjadi diri sendiri," katanya.

Ditanya apakah pernah kecewa dengan realiti dunia seni, Emelda membalas:

EMELDA Rosmila.

"Saya tak pernah ada istilah berputus asa. Cuma, saya akur dengan permainan industri hiburan. Ada artis yang mahu terus relevan, kena ada 'sesuatu' untuk diingati...Pilihan di tangan masing-masing.

"Saya selesa begini, apa yang awak lihat, itulah yang awak dapat. Saya bukan jenis yang suka mendapatkan perhatian dengan cara tak betul. Apa yang terjadi bukanlah tiket atau alasan untuk saya berhenti berlakon. Berlakon sudah sebati dengan diri ini," katanya.

Teruja berkongsi perkembangan karier, Emelda berkata dia berlakon dalam enam projek telefilem tahun ini.

"Saya masih terima tawaran berlakon. Namun, ada ketikanya, tawaran datang ketika saya sibuk. Tapi kalau tawaran itu datang tepat pada masanya apatah lagi naskhahnya baik, saya takkan lepaskan begitu saja," katanya yang sedang menjalani penggambaran drama slot Akasia TV3, Kekasih Paksa Rela.

Beralih cerita, Emelda memberitahu, dia sedang mengukuhkan namanya sebagai pereka fesyen.

Sejak zaman anak dara lagi, Emelda mahir membuat baju kurung sendiri hinggalah beberapa tahun lalu memberanikan dia menghasilkan jenama fesyen sendiri, Emeldarose.

Baru-baru ini, jenama fesyennya itu sekali lagi menyertai Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017.

Emelda mengakui minatnya terhadap dunia fesyen bercambah apabila melihat kain atau fabrik cantik apatah lagi dirinya berkelulusan dalam bidang seni grafik.

"Kalau diikutkan, saya sangat ringkas orangnya. Saya gemar mengenakan jeans dan kemeja-T saja. Tapi sesekali saya teringin melaram dengan gaun cantik.

"Apa yang seronoknya, kita boleh reka fesyen sendiri. Tak salah saya memakainya untuk tujuan promosi atau menghadiri acara tertentu. Dulu nak ke majlis anugerah, ada pereka fesyen yang menaja, tetapi sekarang saya boleh gayakan busana rekaan sendiri," katanya.

Ditanya identiti fesyen ciptaannya, Emelda memberitahu:

"Ia lebih perincian yang diterapkan dalam setiap rekaan," katanya.

Info

  • Emelda dan Adlin berkahwin pada Mei 2009.
  • Belum ada rezeki menimang cahaya mata, namun pasangan ini membesarkan Edra Rafael yang sudah berusia enam tahun
  • Bakal terbabit dengan sebuah telefilem di bawah projek Karya 12 arahan Tunku Mona yang menghasilkan filem Redha.
  • Selain berlakon dan mengacara, Emelda pernah menjadi penyampai radio Peace Yall FM.

Berita Harian X