Khamis, 5 Oktober 2017 | 8:43pm
KUMPULAN rock terkenal Amerika Syarikat, Mr Big, akan mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 14 Oktober ini. - Foto Ihsan PEMBACA

Mr Big bakal gegar KL 14 Oktober

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock terunggul Amerika Syarikat, Mr Big, bakal berkunjung ke ibu negara untuk menghiburkan peminat mereka pada 14 Oktober ini dalam sebuah konsert.

Persembahan diberi nama Mr Big Live in Malaysia 2017 itu akan berlangsung pada jam 8 malam di Mega Star Arena, di sini.

Menurut kenyataan dikirimkan kepada BH Online, konsert anjuran Plan 7 Production itu adalah bersempena kelahiran album terbaru mereka, Defying Gravity, yang menyaksikan ia dirakam sepenuhnya dalam tempoh enam hari.

Diasaskan pada 1988, Mr Big yang dianggotai oleh Eric Martin selaku vokalis, Billy Sheehan (pemain bes), Paul Gilbert (gitar) dan Pat Torpey (dram) berjaya meninggalkan impak besar dalam sejarah muzik apabila lagu hits mereka, To Be With You, membawa mereka ke peringkat antarabangsa, selain memperoleh jualan rekod platinum tertinggi.

Dengan menggabungkan gaya muzik 'shredding' bersama harmoni vokal yang hebat, Mr Big menghasilkan pelbagai lagu popular seperti Alive and Kicking dan Just Take My Heart. Lagu mereka juga merangkumi pelbagai genre rock seperti balada, metal dan blues rock.

Sehingga ini, kumpulan terbabit mengeluarkan sebanyak sembilan album studio iaitu Mr Big (1989), Lean into It (1991), Bump Ahead (1993), Hey Man (1996), Get Over It (1999), Actual Size (2001), What If... (2010), The Stories We Could Tell (2014) dan Defying Gravity (2017).

Mr Big pernah dibubar pada 2002, namun bergabung kembali tujuh tahun kemudian atas permintaan peminat.

Tiket menyaksikan Mr Big Live in Malaysia 2017 boleh didapati pada harga RM568 (VVIP), RM468 (VIP), RM328 (PS1) dan RM188 (PS2) dengan melayari laman sesawang TicketCharge.

Berita Harian X