Khamis, 5 Oktober 2017 | 11:11pm
SHAHIEIZY Sam mempunyai misi menjadikan filem Polis Evo 2 lebih baik daripada filem Polis Evo sebelum ini. - Foto salhani Ibrahim
SHAHIEIZY Sam gembira dan lega apabila melihat sambutan penonton terhadap filem tempatan pada masa kini. - Foto Aziah Azmee

Sam tertekan akibat Abang Long Fadil 2

SELEPAS hampir setahun menunggu, akhirnya Shaheizy Sam akan kembali beraksi di lokasi penggambaran.

Akui pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH sebanyak tiga kali ini, bermula 7 Oktober ini, rutin hariannya akan berubah kerana sibuk berlakon sebagai anggota keselamatan di lokasi penggambaran filem Polis Evo 2.

Pelakon berusia 35 tahun itu berkata, secara keseluruhannya beliau sudah bersedia termasuk dalam aspek fizikal dan mental bagi memikul tanggungjawab menghidupkan watak dalam filem susulan bercorak aksi terbabit.

"Saya memang sudah membina badan sejak setahun lalu bagi menampakkan tubuh dan penampilan sasa. Begitu juga dengan persediaan fizikal dan mental.

"Saya juga akui agak tertekan untuk memulakan semuanya sekali lagi, namun pada masa sama teruja kerana kali ini, ia banyak menampilkan barisan pelakon baharu," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi bagi memperkenalkan filem terbaru lakonannya, Pinjamkan Hatiku, yang bakal ditayangkan pada penghujung November depan.

Sam bagaimanapun berkata, beliau bersedia memberikan yang terbaik, malah mempunyai misi menjadikan naskhah berkenaan lebih baik daripada filem Polis Evo sebelum ini.

Lebih-lebih lagi akuinya, apabila kutipan RM17.47 juta filem tayangan 2015 itu berjaya diatasi oleh Abang Long Fadil 2 yang sudah pun memungut RM17.9 juta beberapa hari lalu. Karya arahan Syafiq Yusof terbabit masih ditayangkan di beberapa pawagam ketika ini.

"Sebenarnya, saya berada dalam situasi tertekan kerana kita tidak ada pilihan lain melainkan memberikan yang terbaik kepada filem Polis Evo 2. Begitupun pada masa sama saya gembira dan lega apabila melihat sambutan penonton terhadap filem tempatan pada masa kini.

"Ia memberikan suntikan semangat yang sangat tinggi buat saya dan pelakon serta tenaga produksi yang lain," katanya.

PELAKON, Shaheizy Sam. - Foto Aziah Azmee

Di samping itu, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-29 ini berkata, beliau juga perlu membahagikan komitmen diri pada dua tugasan pada satu-satu masa.

"Selain sibuk di lokasi penggambaran filem terbaru, saya juga perlu turun padang untuk mempromosikan filem Pinjamkan Hatiku, yang akan menemui penonton tidak lama lagi.

"Begitupun saya yakin tiada masalah yang akan timbul, dan anda semua wajib menonton filem lakonan saya bersama Ayda Jebat dan Farid Kamil ini. Ia sangat istimewa dan lain daripada filem cinta yang selalu kita tonton.

"Saya percaya inilah filem yang anda nantikan. Jujurnya, saya sendiri penat dan hampir kering tenaga dalam usaha menghidupkan watak dalam filem ini. Namun, kesannya amat mendalam. Kalau anda mahu tahu keistimewaannya, anda perlu ke panggung dan tonton Pinjamkan Hatiku," katanya bersungguh.

SHAHEIZY Sam sudah bersedia termasuk dalam aspek fizikal dan mental bagi memikul tanggungjawab menghidupkan watak dalam filem Polis Evo 2. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

INFO

  • Nama sebenar ialah Shaheizy Sam Abdul Samad.
  • Dilahirkan pada 4 September 1982 di Petaling Jaya, Selangor.
  • Berkahwin dengan pelakon, Syatilla Melvin, pada 8 Februari 2016.
  • Sudah berlakon dalam hampir 50 filem.
Berita Harian X