X
Jumaat, 13 Oktober 2017 | 11:02pm

Siti Nurhaliza hamil empat bulan

ULU KLANG: Spekulasi Datuk Siti Nurhaliza hamil terjawab apabila penyanyi tersohor itu mengesahkan mengandung empat bulan.

Siti, 38, berkongsi berita gembira itu melalui siaran langsung Instagram Live miliknya, @ctdk dan YouTube Siti Official Video dari kediamannya di sini, kira-kira jam 10 malam tadi.

"Alhamdulillah saya dan suami tak pernah putus berusaha untuk memiliki cahaya mata, termasuk melakukan rawatan kesuburan di sebuah pusat rawatan swasta.

"Pada usia 38 tahun dan ulang tahun ke-11 perkahwinan, Tuhan makbulkan impian untuk bergelar ibu tidak lama lagi. Fokus saya sekarang semua hal membabitkan anak dan tidak ambil sebarang kerja atau aktiviti," katanya.

 DATUK Siti Nurhaliza bersama suami.
DATUK Siti Nurhaliza bersama suami.

Katanya, tujuan utama pengumuman adalah supaya pihak yang berurusan dengan Siti Nurhaliza Production memahami keadaannya yang tidak dapat memenuhi undangan sejak beberapa bulan lalu dan untuk tempoh akan datang.

Terdahulu, Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa mengadakan majlis kesyukuran dan doa selamat dihadiri sanak-saudara dan kenalan rapat

DATUK Siti Nurhaliza ketika menjawab soalan di kediamannya
DATUK Siti Nurhaliza ketika menjawab soalan di kediamannya

Siti yang berkurung di bilik sejak mula hamil demi menjaga kandungan, mengenakan jubah berwarna merah muda tampak berseri-seri dengan tubuh kelihatan sedikit berisi sesuai dengan perubahan fizikal dialaminya.

"Saya harap peminat dan semua pihak doakan kandungan saya sihat. Semoga anak yang dilahirkan nanti akan menjadi insan yang baik. Buat wanita yang masih menanti kelahiran, saya harap usaha anda akan membuahkan hasil," katanya.

Spekulasi Siti hamil mula tersebar sejak beberapa bulan lalu apabila penyanyi lagu Segala Perasaan itu berhasrat memperlahankan seketika kerjaya seninya.

 DATUK Siti Nurhaliza kini hamil.
DATUK Siti Nurhaliza kini hamil.

Namun, dia yang tampil dengan album terbaharu, SimetriSiti pada Mei lalu, enggan menggembar-gemburkan berita kehamilannya kerana bimbang dengan segala kemungkinan yang boleh berlaku.

Pada Disember 2015, Siti yang mendirikan rumah tangga dengan Khalid pada 21 Ogos 2006, pernah keguguran ketika kandungannya berusia dua bulan.

Ketika itu, Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin dilaporkan reda dan bersyukur kerana anugerah terindah itu sempat dipinjamkan Allah SWT seketika.

SITI bersama ibu mentua, Siti Zainab Hanafi (kiri) dan ibu kandung, Siti Salmah Bachik.
SITI bersama ibu mentua, Siti Zainab Hanafi (kiri) dan ibu kandung, Siti Salmah Bachik.

Info

Datuk Siti Nurhaliza

- Dilahirkan 11 Januari 1979

- Tahun ini genap 21 tahun ceburi arena seni

- Menyambut ulang tahun ke-11 perkahwinan dengan Khalid atau mesra disapa Datuk K pada 21 Ogos lalu

- Pernah 7 kali merangkul trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH)

DATUK Siti Nurhaliza hamil mengesahkan mengandung empat bulan.
DATUK Siti Nurhaliza hamil mengesahkan mengandung empat bulan.
Berita Harian X