Isnin, 16 Oktober 2017 | 12:29am
DARI kiri, Marsha, Shamel, Bob, Idayu dan Shahir finalis yang berjaya ke final AF Megastar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

AF Megastar: Idayu mara ke pentas akhir

SHAH ALAM: Tiga peserta pilihan yang sering dipuji juri iaitu Idayu, Bob dan Marsha menepati ramalan apabila layak beraksi di peringkat akhir AF Megastar, Ahad depan.

Turut berpeluang merebut trofi idaman adalah bekas naib juara AF tiga tahun lalu, Syamel dan bekas juara AF8, Shahir.

Pada konsert separuh akhir di Royal Theater di sini, malam ini, impian Amir J dan Amir untuk beraksi di peringkat akhir tidak kesampaian apabila mendapat undian paling rendah.

Malah, mereka mendapat komen kurang memuaskan daripada juri yang mewakili 60 peratus markah secara keseluruhan.

Sebanyak 40 peratus markah lagi dilakukan secara undian menerusi SMS oleh penonton.

Tiga juri yang terbabit adalah Datuk Ramli MS, Syafinaz Selamat dan juri jemputan, Datuk M Nasir.

Tugasan minggu ini menyaksikan peserta menyanyikan lagu bertemakan carta dan sebuah lagu duet bersama artis pilihan.

AF Megastar disertai 12 penyanyi. Mereka yang terkeluar sebelum ini adalah Adira, Azhar, Ewal, Sufi dan Indah Ruhaila.

Juara AF Megastar bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, trofi dan hadiah sampingan lain.

Berita Harian X