Khamis, 19 Oktober 2017 | 6:47pm
SHAHIR dan Erra Fazira.

Shahir perlu bertanggungjawab atas apa terjadi - Erra

KUALA LUMPUR: Erra Fazira, berharap Shahir akan bertanggungjawab terhadap kontroversi yang tercetus dan berani menyelesaikan isu yang dimulakannya.

Enggan mengulas panjang mengenai perkara berkenaan, Erra, 43, yang turut dikenali sebagai penyanyi dan usahawan bagaimanapun percaya, pastinya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Kelmarin, Shahir yang dikaitkan mempunyai hubungan rapat dengan bintang jelita berkenaan menjadi bualan ramai apabila terbabit dengan kisah sensasi mengaitkan dirinya dengan pramugari dikenali sebagai Mona Syamimi Mohd Samsudin.

"Saya rasa dia (Shahir) yang berhak meleraikan semua ini.

"Saya mengharapkan dia akan bertanggungjawab di atas apa yang terjadi. Tak perlu berselindung dan sebaiknya dia perlu berani menamatkan apa yang dimulakan," kata Era kepada BH Online.

Tambah Erra lagi, beliau tetap mendoakan Shahir maju jaya dalam pertandingan AF Megastar yang akan mencapai kemuncaknya, Ahad ini.

"Saya percaya, dia kena fokus pada persiapan menjelang pertandingan akhir itu," katanya yang ketika ini sibuk di lokasi penggambaran drama, Gerak Khas musim baharu.

Ditanya mengenai status hubungan mereka yang dikatakan akrab sejak tiga tahun lalu, termasuk hasrat Shahir yang berhasrat menyuntingnya sebagai isteri awal tahun depan, ibu kepada Engku Aleesya itu enggan menyentuh hal terbabit lagi ketika ini.

Percubaan BH Online untuk turut mendapatkan kenyataan daripada Shahir bagaimanapun menemui kegagalan.

Selasa lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan cerita Shahir, 29, yang diketahui ramai menjalinkan hubungan bersama Erra, tiba-tiba dikaitkan dengan Mona.

Ia bermula apabila foto Shahir bersama wanita berkenaan tersebar di laman sosial. Tambah hangat, keterangan gambar yang dilampirkan bersama foto seolah-olah menunjukkan mereka pasangan kekasih.

Shahir kemudian tampil menjelaskan, hubungannya dengan Mona adalah atas dasar peminat dan artis.

74039 dibaca
Berita Harian X