Ahad, 22 Oktober 2017 | 10:06am
PENYANYI, Shahir. - Foto Mahzir Mat Isa
DATUK Aznil Nawawi berkongsi paparan skrin perbualannya dengam shahir

'Jangan risau, saya teruskan'

KUALA LUMPUR: "Jangan risau. Demi Pak Nil, saya teruskan".

Itu janji penyanyi, Shahir menerusi paparan skrin yang dikongsi pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi, menerusi laman Instagram, sekali gus mengesahkan dirinya bakal tampil di pentas akhir AF Megastar, malam ini.

Khamis lalu, menerusi laman sosial sama, Juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan itu membuat kejutan apabila mengumumkan mahu menarik diri daripada AF Megastar berikutan kontroversi membabitkan wanita dikenali sebagai Mona Syamimi Mohd Samsudin.

Shahir yang didakwa menjalin hubungan dengan Mona, menafikan gosip itu. Malah, Shahir menyifatkan ia sebagai tindakan mensabotaj kemaraannya dalam pertandingan terbabit.

Aznil yang juga pengacara AF Megastar menyifatkan tindakan Shahir untuk terus berentap malam ini sebagai wajar.

"Alhamdulillah, kita akan melihat lima finalis AF Megastar berentap termasuk Shahir.

"Tindakan Shahir itu bijak. Ramai yang mahu melihatnya bersaing dengan empat lagi finalis iaitu Marsha, Idayu, Bob dan Syamel.

"Ini menjadi ruang untuk Shahir membuktikan dirinya serius dan kuat meneruskan perjuangan seni ketika ada pihak yang mungkin tidak senang dengan dirinya," katanya kepada BH Online.

Aznil berkata, perjuangan bekas peserta AF sejak musim pertama hingga kini menyentuh emosinya umpama menyaksikan adik kandung sendiri mengharungi cabaran hidup.

"Saya tak mahu mereka cepat mengalah dalam hidup. Begitu juga dengan Shahir.

"Saya mahu dia serius dalam dunia seni ini. Dia ada bakat tersendiri. Saya tak mahu dia 'hilang' lagi seperti sebelum ini," katanya.

7664 dibaca
Berita Harian X