Isnin, 23 Oktober 2017 | 10:33pm
LAMAN Instagram Lara Alana.

Miliki pengaruh seawal usia 3 tahun

KUALA LUMPUR: Bagi sesetengah pasangan selebriti, bukan niat mereka untuk menjadikan permata hati sebagai aset pelaburan.

Namun, limpahan populariti ibu bapa yang terkena pada si kecil secara tidak langsung membuka ruang untuk anak mereka turut menjana rezeki.

Apabila si anak mula dikenali, dengan berbekalkan ragam tersendiri selain pendedahan di laman sosial, akhirnya ada pihak ingin menjadikan kanak-kanak terbabit sebagai duta produk keluaran mereka, selain diketengahkan sebagai pelakon dan bintang realiti.

Lara Alana, antara bintang kecil yang begitu kuat pengaruhnya ketika ini dalam kalangan masyarakat. Apa tidaknya, baru mencecah tiga tahun, anak Scha Alyahya dan Awal Ashaari ini sudah mempunyai hampir tiga juta pengikut di Instagram.

Bahkan, Lara juga mewakili beberapa produk termasuk Yakult Malaysia, Dutch Lady NutriPlan dan susu Johnson & Johnson. Selain itu, dia mempunyai program realiti sendiri dikenali sebagai Lara Oh Lara.

Buka pintu rezeki


SCHA Alyahya bersama suami, Awal Ashaari dan anak mereka, Lara Alana. - Foto Mahzir Mat Isa

Seperti Scha yang meletakkan dirinya dalam posisi berkongsi rezeki anak mereka, beliau bagaimanapun tidak sesekali menjadikan Lara sebagai harta pelaburan, sebaliknya permintaan ramai yang membuatkan keluarga kecilnya itu meraih perhatian.

"Saya tidak menafikan Lara membuka lebih rezeki kepada kami sehingga banyak produk luar yang menawarkan pakej keluarga kepada saya dan suami.

"Sebagai ibu bapa, kami sangat mementingkan kebajikan Lara agar tidak lalai dengan dunia publisiti. Kami sendiri cuba seimbangkan diri sebagai ibu bapa dan selebriti.

"Saya juga berasakan, tanggungjawab yang Allah berikan kepada kami bagi membesarkan dirinya sangat besar. Sebagai ibu bapa, tidak semua kehendaknya akan tertunai, tetapi Alhamdulillah, rezeki dia sentiasa melimpah-ruah. Orang luar yang banyak memanjakan dirinya dengan menghadiahkan pelbagai barangan," katanya.

Simpan demi masa depan


LARA Alana. - Foto Aziah Azmee

Menurut bintang Isteri Vs. Tunang itu lagi, beliau dan suami tidak membuat perancangan tertentu untuk masa depan Lara. Sebaliknya, mereka menyimpan pendapatan puteri kesayangan mereka bagi perbelanjaan pendidikan dan keperluannya kelak.

Sebagai ibu bapa, aktres dan pengacara ini menegaskan, mereka takkan menyentuh setiap sen bayaran yang diterima oleh Lara sehingga anak mereka melangkahkan kaki ke alam persekolahan.

"Semua ini datang bergolek dan kami anggap ia sebagai rezeki Lara. Tawaran yang datang secara pakej pula bukan bererti kita nak 'jual' anak. Malah sebagai ibu bapa, kita tak usik bahagian Lara, sebaliknya disimpan untuk masa depannya," kata Scha, 34.

Yusuf ada hampir dua juta pengikut


LAMAN Instagram Yusuf Iskandar.

Sementara itu, pelakon, Hairul Azreen dan isterinya, Hanis Zalikha, turut bersikap terbuka andai ada pihak yang mahu menawarkan cahaya mata mereka yang kini berusia 16 bulan, Yusuf Iskandar, menjadi duta produk.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, anaknya belum dilamar secara sendirian untuk berbuat demikian.

"Setakat ini, hanya produk Hairul Hanis Junior yang dibawa khas oleh pengeluar barangan bayi, Pureen, selain kerjasama baju raya Jakel, tahun ini, membabitkan kami tiga beranak.

"Selepas ini, kalau ada pihak yang berminat dan kena caranya, saya dan Hanis akan pertimbangkan. Cuma ketika ini belum ada tawaran lain yang kami terima," katanya sambil menambah anaknya itu turut membuka pintu rezeki buat keluarga.

Pendedahan terkawal


HAIRUL Azreen bersama isterinya, Hanis Zalikha dan anak mereka Yusuf Iskandar. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Populariti yang diraih Yusuf hingga diangkat sebagai Si Cilik Meletop pada Anugerah Meletop 2017 juga bukan sesuatu yang dikejar oleh Hairul dan isteri.

Malah, sehingga kini, pelakon Dia Semanis Honey ini menyifatkan pendedahan anak kecilnya di laman Instagram masih terkawal.

Sebagai rekod, Yusuf sudah memiliki 1.8 juta pengikut di laman sosial bergambar berkenaan.

"Saya pernah terfikir untuk tidak membuka akaun Instagram khusus untuk Yusuf. Tetapi, apabila difikirkan semula, jika tidak melakukannya, bagaimana mahu menyimpan semua gambar kenangan ketika dia kecil?

"Saya tidak mahu Yusuf kehilangan detik indah ketika zaman bayinya, seperti yang pernah berlaku kepada saya apabila semua foto kenangan musnah kerana banjir.

"Begitupun, tidak kami sangka, akaun Instagram Yusuf mendapat perhatian ramai dan jumlah pengikutnya semakin hari semakin bertambah. Pendek kata dia memang ramai peminat," katanya.

Rezeki tidak harus ditolak


LAMAN Instagram Syeriv Samheizy.

Bagi pelakon, Syatilla Melvin, beliau ada berbincang dengan suami, Shaheizy Sam, dalam soal mendedahkan cahaya mata mereka, Syeriv Samheizy, kepada dunia komersial, seterusnya menjana pendapatan sampingan buat si kecil.

"Cuma sekarang dia masih kecil, baru berusia lima bulan. Begitupun, saya dan suami ada bercakap mengenai hal ini. Jika ada rezeki, kenapa perlu ditolak? Kami memang terbuka dalam soal itu. Jadi, dapatlah juga menabung dari sekarang untuk masa depannya.

"Kami tiada masalah andai Syeriv menjadi duta produk atau hal berkaitan komersial. Kami cuma takkan membenarkannya berlakon kerana dia masih kecil," kata Syatilla sambil memaklumkan, mereka juga mempertimbangkan untuk meletakkan permata hati di bawah pengurusan syarikat produksi suami, Cats and Kids Entertainment.

Katanya, buat waktu ini belum ada lagi tawaran dihulurkan kepada anaknya.

"Memang ketika ini tak ada lagi tawaran yang datang berhubung perkara itu. Kami pula mewujudkan akaun Instagram untuk Syeriv sejak usianya dua bulan bagi berkongsi detik manis. Tak dinafikan, dia pun sudah ada ramai peminat," katanya.

INFO

Lara Alana

  • Dilahirkan pada 22 Julai 2014.

  • Mempunyai seramai 2.9 juta pengikut di Instagram.
  • Pada usia 3 tahun, Lara sudah mewakili beberapa produk seperti Yakult, Johnson & Johnson Milk dan Dutch Lady NutriPlan.
  • Anak pasangan Scha Alyahya dan Awal Ashaari ini juga mempunyai program televisyen, Lara Oh Lara.
  • Yusuf Iskandar

    • Dilahirkan pada 3 Jun 2016.
    • Memilih akaun Instagram di bawah nama @theyusufiskandar dengan jumlah pengikut seramai 1.8 juta orang.
    • Ditampilkan dalam program televisyen bersama ibu bapa, Hairul Azreen dan Hanis Zalikha dalam Hairul Hanis Junior.

    Syeriv Samheizy

    • Syeriv dilahirkan pada 9 Mei 2017.
    • Sam dan Syatilla mewujudkan akaun Instagram khas untuknya dan kini ia diikuti kira-kira 234,000 orang.

    Berita Harian X