Rabu, 25 Oktober 2017 | 12:03pm
PENYANYI, Syamel, ketika bertanding dalam program AF Megastar.
SYAMEL akan mewakili negara ke ABU TV Song Festival 2017 di China.

Syamel wakili negara ke ABU TV Song Festival di China

KUALA LUMPUR: Seminggu selepas bertarung dalam konsert akhir AF Megastar, Syamel bakal mewakili Malaysia pada acara ABU TV Song Festival 2017 yang akan berlangsung di Chengdu, China, 1 November depan.

Mengakui berdebar kerana julung kali menjayakan acara nyanyian peringkat antarabangsa, bekas naib juara Akademi Fantasia 2015 ini berjanji akan mempamerkan persembahan terbaik.

"Pada festival itu nanti, saya akan menyanyikan lagu yang menjadi single kedua saya, Lebih Sempurna. Mungkin saya perlu menyelitkan sedikit lirik dalam bahasa Cina sebagai kelainan, selain menjiwai lagu itu dengan sebaik mungkin.

"Jujurnya, saya juga sangat gementar kerana acara kali ini turut menyaksikan penampilan penyanyi hebat daripada kira-kira 13 negara lain, yang menjadi anggota Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU).

"Apapun, saya bersyukur kerana terpilih untuk mewakili negara. Sebelum ini, kebanyakan penyanyi Malaysia yang terpilih menyertainya adalah bakat daripada program realiti terbitan RTM," kata Syamel kepada BH Online.

Ditanya apakah beliau sudah bersedia untuk mencipta populariti pada peringkat lebih tinggi, dalam nada merendah diri, pemilik nama Syameel Aqmal Mohd Fodzly ini memberitahu, perkara itu bergantung kepada cita rasa pendengar di sana.

"Tak tahu nak cakap macam mana. Ia terpulang pada pendengaran mereka. Kalau mereka suka, saya bersyukur. Bagi saya, apa paling penting, saya dapat menimba pengalaman baharu ketika berada di sana," kata penyanyi berusia 24 tahun ini.

Selain Malaysia, festival bukan berbentuk pertandingan itu akan turut menyaksikan persembahan peserta daripada Afghanistan, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Macau, Maldives, Vietnam, Zambia, Kazakhstan dan Turkmenistan.

Berita Harian X